JOHOR BAHRU – Polis Johor merekodkan penurunan kadar jenayah sebanyak 17.8 peratus bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata pencapaian itu melibatkan tempoh Januari hingga Jun 2026, dengan keseluruhan 19,853 kes direkodkan.
“Jumlah ini adalah berbanding nilai ambang kes bagi tahun 2026 sebanyak 48,680 kes, sekali gus menunjukkan perkembangan positif dalam aspek keselamatan.
“Pencapaian ini adalah hasil usaha berterusan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kontinjen Johor dalam memperkukuh pencegahan jenayah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Peringkat Kontinjen Johor bagi September 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.
Katanya, statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor pula bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Ogos lalu menunjukkan sebanyak 69,602 kemalangan jalan raya direkodkan.
Jumlah itu katanya, meningkat 2.9 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, namun kes kemalangan maut menunjukkan penurunan 5.8 peratus kepada 671 kes.
“Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya turut menurun 6.9 peratus kepada 721 orang berbanding tempoh sama tahun sebelumnya,” ujarnya.
Daripada aspek penguatkuasaan katanya, sebanyak 2,527 operasi dijalankan, membabitkan 981 tangkapan atas pelbagai kesalahan termasuk kesalahan jenayah dan dadah.
Dalam tempoh sama, sebanyak 139,696 saman dikeluarkan manakala 4,197 kenderaan pelbagai jenis disita, katanya.
Bagi jenayah indeks pula, beliau memberitahu, Johor merekodkan 3,783 kes bagi tempoh Januari hingga Ogos, meningkat 148 kes atau 4.07 peratus berbanding 3,635 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Tambahnya, jenayah kekerasan meningkat 18.71 peratus kepada 996 kes, manakala jenayah harta benda menurun 0.32 peratus kepada 2,787 kes.
Dalam pada itu katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Johor terus mempergiat usaha membanteras kegiatan penipuan, khususnya membabitkan sindiket pusat panggilan.
“Sepanjang 2026, sebanyak 57 premis dikenal pasti dan tindakan penguatkuasaan dijalankan, dengan 544 individu ditangkap.
Daripada jumlah itu, seramai 488 ahli sindiket telah dituduh di mahkamah,” katanya.- MalaysiaGazette















