Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bercakap kepada media pada Majlis Lawatan Kerja ke Kampung Salak Selatan di Dewan Orang Ramai Kampung Baru, Kampung Baru Salak South, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – “Surat itu saya tujukan kepada Presiden parti, bukannya Setiausaha Agung yang tidak masuk pemilihan parti sebaliknya hanya dilantik,” kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin.

Sehubungan dengan itu, katanya, beliau sama sekali tidak akan melayan atau mengiktiraf sebarang jawapan daripada Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung ketiga-tiga surat yang sehingga kini tiada jawapan.

“Saya tunggu jawapan daripada Presiden parti. Ketiga-tiga surat yang telah saya tulis untuk Presiden dan bukan untuk orang lain.

“Surat pertama yang dihantar itu melalui Setiausaha Agung jadi kita hantar pula surat kedua mengatakan untuk bertemu dengan Presiden dan juga yang ketiga juga tidak dijawab dan kami tunggu lagi.

“Surat itu juga telah ditandatangani oleh Setiausaha Agung yang kita tidak iktiraf. Kita mahu Presiden. Kami dari kalangan jawatan yang dipilih maka kami hanya mahu bertemu dengan Presiden dan bukannya yang sebaliknya.

“Saya ulang, kami hanya mahu Presiden sahaja bercakap dengan kami bukan Setiausaha Agung yang dilantik ini,” katanya kepada pemberita sebentar tadi selepas mengadakan lawatan ke Kampung Baru Salak South hari ini.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengulas kenyataan Saifuddin yang mengesahkan pihaknya sudah menjawab surat Zuraida.

Beliau turut mengesahkan hanya satu surat diterima dan surat itu dijawab dalam tempoh tujuh hari selepas diserahkan oleh pihak terbabit.

“Saya nak sebut surat dikirim cuma satu sahaja dan surat itu sudah dijawab.

“Surat itu dihantar secara serahan tangan kepada pihak yang mengirim dalam tempoh kurang tujuh hari,” kata Saifuddin hari ini.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, surat yang telah dihantar olehnya hanya kepada Presiden tetapi yang lain menjawabnya.

“Itu jawatan dilantik, bukan dipilih, dia tidak masuk dalam pemilihan parti. Kami pula lain, kami dipilih dalam pemilihan parti. Saya tidak langsung menerima atau mengiktiraf sebarang jawapan daripada Saifuddin Nasution.

“Tidak, saya tidak akan iktiraf,” tegasnya.

Jumaat lalu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata Saifuddin akan menjawab dakwaan Zuraida yang beliau tidak melayan tiga surat diberikan kepadanya bagi mengatur pertemuan menyebabkan Zuraida tidak menghadiri mesyuarat parti.

Pada 20 Ogos lalu, Zuraida mendedahkan permintaan tidak ditunaikan Anwar menjadi salah satu punca mengapa beberapa pemimpin parti bertindak untuk tidak menghadirkan diri dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Zuraida dilaporkan berkata tiga surat sudah diserahkan kepada Pejabat Presiden, namun sehingga kini tidak menerima sebarang maklum balas. –MalaysiaGazette