Datuk Dr Jacob George

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) merayu kepada Lim Guan Eng agar tidak membuka mulut dalam isu yang boleh menyentuh sensitiviti kaum  di negara ini.

Presidennya, Datuk Dr. Jacob George berkata, rayuan itu dibuat demi menjernihkan kekecohan akibat salah faham segelintir parti dan pemimpin politik berhubung isu menyokong barangan keluaran muslim dan bumiputera.

Jacob berkata, isu itu pastinya tidak menjadi polemik hingga mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan pelbagai kaum di negara ini jika ia tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

Tegas, sokongan membeli barangan tempatan tidak kira keluaran bumiputera atau bukan bumiputera telah dilaksanakan sejak dahulu lagi dan ia tidak mencetuskan rasa kurang senang sebelum ini tetapi apabila Setiausaha Agung DAP itu membuka mulut dengan memberi kenyataan berhubung perkara itu, maka ‘bahangnya’ tercetus.

“Jadi, saya merayu kepada Lim Guan Eng dan DAP khususnya, berhati-hati apabila membuka mulut kerana apabila anda membuat kenyataan, anda telah menimbulkan kemarahan dan menimbulkan pelbagai persepsi,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Lantaran itu, beliau meminta Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi amaran kepada semua pemimpin Pakatan Harapan dan kabinet supaya berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan berbentuk rasis hingga boleh menimbulkan persepsi tidak baik antara kaum.

Ia bukan sahaja mengelakkan perang perdagangan di Semenanjung, sebaliknya yang paling utama mengelak rasa tidak puas hati dalam kalangan kaum di negara ini.

Beliau turut khuatir jika isu itu berpanjangan, Malaysia berdepan dengan tindakan boikot oleh negara-negara maju yang begitu sensitif dengan sentimen seperti ini.

“Saya bimbang yang rugi, yang malu nanti adalah negara kita. Malaysia dikenali di seluruh dunia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum yang aman di bawah satu bendera tetapi kini berlaku ketegangan disebabkan isu-isu kecil seumpama ini,” ujarnya lagi.

Lagipun, kata Jacob, sebagai Menteri Kewangan, Guan Eng tidak perlu membuat kenyataan bagi isu-isu yang bukan di bawah kementeriannya kerana menteri yang dipertanggungjawab tahu peranan masing-masing.

Selain itu, katanya, rakyat hari ini sentiasa diingatkan oleh institusi raja agar memelihara hubungan baik antara kaum.

“Yang di-Pertuan Agong, Sultan Perak dan Sultan Selangor sentiasa mengingatkan kita tentang perkara ini, begitu juga dengan perdana menteri. Ia sudah memadai, jangan politikkan perkara yang tidak perlu,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai isu sokongan terhadap barangan keluaran Muslim atau bumiputera, Jacob berkata, beliau tidak ada masalah mengenai perkara itu kerana pengguna-pengguna di negara ini semakin bijak menggunakan hak mereka.

“Duit mereka (pengguna), jadi biarlah mereka menentukan belian masing-masing berdasarkan faktor-faktor keagamaan, ketersediaan, keselamatan, kualiti, nilai barangan dan harga.

“Takkan kita hendak marah, jika sesuatu agama menuntut penganutnya membeli barangan halal? Itu tidak patut.

“Perkara itu tidak ada masalah pun sebelum ini, sebab itu saya merayu jangan gunakan isu-isu konsumerisme pula dalam meraih perhatian politik mana-mana pihak dan parti,’ katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. LGE jgn ‘lawan api dgn api’. Tak perlu nak bg pendapat dgn kenyataan arrogant dan sinis. Hati2 implikasi ‘Action n Reaction’ di atas apa2 kenyataan. Ada klasifikasi status makanan berdasarkan keperluan agama. Jika tak pasti, jgn komen.

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.