Datuk Shamsubahrin Ismail
Pengasas dan Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd., Datuk Shamsubahrin Ismail bercakap berkenaan demonstrasi pekerja Gojek di Kedutaan Malaysia di Jakarta ketika sidang media di Pejabat Big Blue Taxi, Wisma Central, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Pemandu-pemandu teksi motosikal atau Gojek digesa menyerahkan wang yang dikumpulkan dalam perhimpunan aman di luar Kedutaan Malaysia di Jakarta, hari ini kepada pihak masjid ataupun golongan yang tidak bernasih baik di negara itu.

Pengasas Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail menegaskan, pemandu-pemandu Gojek tidak perlu bersusah-payah untuk mengumpul dana bagi membiayai beliau ke Jakarta sedang permohonan maaf secara terbuka sudah dibuat minggu lalu.

“Saya mohon kepada sesiapa yang telah mengumpul wang-wang tersebut dapatlah memberi sedekah kepada masjid-masjid atau didermakan kepada mereka yang memerlukan di Indonesia.

“Tak payah bersusah payah nak jemput saya. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana bersusah payah mengumpul duit untuk biayai saya ke sana (Jakarta).

“Sebelum ini saya sudah ditemubual secara langsung di TvOne dan Pengerusi Gabungan Dua Roda itu sudah pun terima permohonan maaf saya bagi mewakili semua pemandu Gojek. Alhamdulillah semua sudah selesai,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Terdahulu, pemandu Gojek mengadakan demonstrasi di luar Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta hari ini sebagai tanda bantahan kepada kenyataan Shamsubahrin sebelum ini yang dianggap menghina mereka dan negara Indonesia.

Lebih 400 pemandu Gojek yang berdemonstrasi itu turut mengumpul wang bagi membiayai perbelanjaan pengasas Big Blue itu ke Jakarta.

Berdasarkan satu video yang viral di Indonesia baru-baru ini, Shamsubahrin membuat kenyataan yang dianggap menghina pemandu Gojek dan negara Indonesia.

“Ini negara miskin, kita negara kaya. Kalau Indonesia anak muda bagus, dia tak keluar, keluar negara untuk cari kerja. Gojek hanya untuk orang miskin seperti di Jakarta,” menurut petikan video itu.

Jurucakap pemandu Gojek itu, Theresia Ismiyanti berkata, mereka mahu Shamsubahrin ke Jakarta dan memohon maaf secara terbuka kepada pemandu Gojek.

Pada 30 Ogos lepas, Gabungan Aksi Roda Dua Indonesia (Garda) menyatakan penerimaan permohonan maaf mereka terhadap kenyataan Shamsubahrin itu.

Ketua Garda, Igun Wicaksono berkata mereka telah mengemukakan “surat pernyataan” itu diserahkan kepada pihak kedutaan Malaysia di Jakarta, dalam pertemuan bersama pegawai kedutaan yang diketuai Atase Polis Malaysia di Indonesia, Abu Bakar Yaacob. – MalaysiaGazette