Saksi kelapan, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin hadir pada perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 04 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Saksi kelapan perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu mahkamah beliau ‘terkejut’ apabila diberitahu baki akaun bank BSI Switzerland miliknya mempunyai wang sebanyak US$884,996.78.

Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, yang jugabekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membacakan penyataan saksi berkata, maklumat baki itu telah dimaklumkan kepadanya oleh seorang pegawai BSI yang membuat panggilan telefon kepadanya.

“Ketika itu, pegawai tersebut bertanyakan kepada saya adakah saya tahu tentang baki akaun tersebut, saya memberitahu saya tidak tahu. Dia memberitahu saya bahawa terdapat USD884,996.78 di dalam akaun saya.

“Terkejut saya kerana tidak tahu apa-apa berkaitan wang ini. Saya meminta pegawai bank tersebut memberi  pandangan mengenai kemasukan wang ke dalam akaun tersebut, namun pegawai bank itu hanya menyatakan akan menghubungi saya semula.

“Pada satu masa yang lain pula, saya dihubungi pegawai dari BSI dan memaklumkan bahawa hubungan saya dengan bank itu akan ditamatkan dan saya dikehendaki memindahkan wang itu sama ada kepada satu syarikat bawah nama saya atau akaun lain di bawah nama saya.

“Perkara itu saya rujuk kepada Jho Low kerana pada waktu itu memang ada arahan untuk berhubung dengannya jika ada apa-apa persoalan mengenai akaun itu,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah sebentar tadi.

Amhari berkata demikian pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Selain menghadapi pertuduhan  menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB, Najib juga berdepan dengan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

Ketika Amhari membacakan penyataan saksinya, Najib yang duduk di kandang tertuduh kelihatan tenang dan tidak ada apa-apa reaksi.

Amhari kemudian menyambung mendedahkan Jho Low juga telah mengarahkannya untuk membuka akaun bank di Shanghai memandangkan dalam tempoh itu memang ada urusan di China dan terdapat keperluan untuk ke sana.

“Sekali lagi kata Jho Low akaun itu tidak dapat di buka kemudian beliau mengarahkan saya ke Bangkok bagi membuka akaun di Kasikorn Bank.

“Proses pembukaan akaun ini telah dibantu oleh seorang warga Thai bernama Oada yang merupakan kenalan Jho Low dan bukan pegawai bank tersebut dan namanya saya tidak ingat. Akaun bank di Bangkok itu telah berjaya dibuka pada masa itu juga.

“Akaun bank di Bangkok ini berjaya dibuka, semasa satu lawatan kerja saya di Dubai, pada 28 September 2016, saya menghantar satu surat ke BSI Switzerland melalui faks Hotel Shangri-La Hotel, Dubai untuk memindahkan wang dalam akaun BSI ke akaun Kasikorn Bank dan menutup akaun BSI tersebut,” dedahnya.

Amhari juga telah diarahkan supaya tidak menghantar melalui faks menggunakan nombor Malaysia.

Jelas Amhari lagi, beliau telah menerima arahan daripada BSI untuk memindahkan wang dalam akaun BSI atas namanya ke akaun miliknya yang lain.

“Namun saya dimaklumkan oleh BSI kemudiannya iaitu lebih kurang sehari atau dua hari selepas itu bahawa pemindahan wang tersebut tidak berjaya serta dimaklumkan ia ditangguhkan sementara dan pegawai bank akan menghubungi saya  semula  sekiranya ada apa-apa  perkembangan.

“Saya ada maklumkan perkara ini kepada Jho Low dan beliau memberitahu saya beliau akan menyelesaikan masalah ini bagi pihak saya. Sehingga kini saya tidak tahu apa yang berlaku ke atas wang di dalam akaun tersebut,” dakwanya.

Namun pada masa yang sama, dakwa Amhari, beliau tidak pernah mengeluarkan wang dari akaun berkenaan untuk kegunaan peribadi atau dipindahkan kepada mana-mana akaun miliknya mahupun akaun milik pihak lain.

Ini kerana akaun itu diuruskan sepenuhnya oleh Jho Low malah kata Amhari beliau tidak pernah bertanyakan Najib tentang wang dalam akaunya.

“Malah Datuk Azlin sendiri sebelum ini tidak berani tanya dan saya ingat pesanan beliau bahawa akaun ini bukan sahaja untuk tujuan dana politik tetapi sekiranya saya mempersoalkan sesuatu yang cukup rahsia seperti ini.

“Atau melahirkan rasa tidak bersetuju, ianya boleh membawa kepada ancaman kerja, kedudukan atau keluarga saya,” ujarnya. –MalaysiaGazette