Aaron Wan-Bissaka

LONDON – Kerana mengalami kecederaan belakang, pemain pertahanan Manchester United, Aaron Wan-Bissaka membuat keputusan menarik diri awal pagi tadi daripada skuad England.

Ia bermakna Wan Bissaka tidak akan bermain dalam perlawanan menentang Bulgaria dan Kosovo bagi kelayakan Euro minggu depan.

Pemain berusia 21 tahun itu sepatutnya membuat penampilan sulung senior di peringkat antarabangsa selepas menyerlah dalam empat aksi pertama sejak menyertai United dari Crystal Palace dengan harga £50 juta (RM254 juta) Jun lalu.

“Aaron Wan-Bissaka menarik diri daripada skuad England.

“Pertahanan kanan Manchester United itu sudah kembali ke kelabnya kerana masalah kesakitan belakang,” kata Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris dalam satu kenyataan.

England berada di landasan baik untuk layak ke pusingan akhir Kejohanan Eropah tahun depan selepas membelasah Republik Czech dan Montenegro dalam dua aksi pertama mereka.

Wan-Bissaka seorang daripada empat pemain yang tidak pernah beraksi dinamakan dalam skuad Southgate minggu lalu ketika bos England itu merancang untuk memberi peluang kepada beberapa pemain muda membuktikan keupayaan mereka. – MalaysiaGazette