KUALA LUMPUR – Kelab bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mencipta sejarah apabila memiliki bangunan baharu sendiri.

Bangunan pejabat tersebut yang terletak bersebelahan Stadium Sultan Ibrahim dirasmikan oleh Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Stadium tersebut sedang rancak dalam pembinaan di atas tanah seluas 2,200 meter persegi yang terletak di Iskandar Puteri.

Turut hadir menyaksikan acara bersejarah buat juara enam kali berturut-turut Liga Super itu ialah Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani, Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim, dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers, Ibu Pejabat empat tingkat itu menempatkan pejabat pengurusan tertinggi JDT, PBNJ dan juga kakitangan Southern Tigers Sdn Bhd.

Aras bawah merupakan lobi untuk pelawat, yang turut memiliki skrin mega LED yang akan menyiarkan detik-detik istimewa JDT kepada setiap tetamu atau pengujung premis.

Aras tersebut turut akan memiliki bilik seminar, manakala pelbagai jabatan akan ditempatkan di tingkat satu dan dua.

Aras paling atas pula menempatkan pejabat Tunku Ismail selaku pemilik kelab.

Apa yang menarik Ibu Pejabat JDT ini mempunyai pemandangan yang menghadap Stadium Sultan Ibrahim yang bakal siap tidak lama lagi. – MalaysiaGazette