Detik-detik cemas ketika Laporte mengalami kecederaan dalam perlawanan menentang Brighton di Etihad Sabtu, lalu.

LONDON – Pemain pertahanan Manchester City, Aymeric Laporte terpaksa direhatkan susulan pembedahan yang dilakukan di Barcelona.

Pemain berusia 25 tahun itu mengalami kecederaan tersebut ketika pasukannya menentang Brighton di Etihad Sabtu, lalu.

Meskipun tercedera, perlawanan itu diakhiri dengan pencapaian yang cukup berbaloi apabila City mendapat kemenangan 4-0.

Sumber dari kelab berkenaan memaklumkan Laporte terpaksa diketepikan sehingga tahun baru namun, tiada jangka masa ditetapkan bila beliau dibenarkan beraksi semula.

Akibat daripada insiden itu, City kini hanya memiliki dua pertahanan tengah senior iaitu John Stones dan Nicolas Otamendi bagi menghadapi separuh babak pertama musim baharu.

Pengurus City, Pep Guardiola sedia meletakkan pemain tengah Brazil, Fernandinho sebagai pertahanan ‘kecemasan’ dengan pemain berusia 18 tahun, Eric Garcia satu-satunya pilihan lain yang ada.

Tosin Adarabioyo yang berusia 21 tahun dipinjamkan ke kelab Championship, Blackburn Rovers dengan City tidak mempunyai pilihan memendekkan tempoh pinjaman di Ewood Park.

Laporte turut tersenarai kali pertama bersama Perancis untuk menghadapi kelayakan Euro 2020 menentang Albania dan Andorra tetapi terpaksa menarik diri susulan kecederaan itu. – MalaysiaGazette