Dr. Najmil Faiz

KUALA LUMPUR – Pengumuman Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah bahawa skim pencen untuk kakitangan awam akan dihentikan adalah satu tindakan yang zalim dan kejam.

EXCO Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Mohamed Aris berkata, apa yang berlaku pada hari ini terhadap penjawat awam adalah bukti kegagalan terbesar kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara.

Jelas beliau, kerajaan dilihat tidak mampu lagi meneruskan skim pencen akibat daripada tadbir urus yang tidak cekap, peningkatan hutang negara, penurunan kemasukan pelabur asing dan pelbagai lagi.

“Tindakan kerajaan untuk memansuhkan skim pencen adalah zalim terhadap penjawat dan Pemuda UMNO akan terus mendesak supaya skim pencen diteruskan.

“Walaupun tidak lagi menjadi kerajaan, dasar dan mekanisme yang digunakan Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir negara terbukti berjaya di mana kerajaan dahulu tidak pernah menghentikan skim pencen penjawat awam atas alasan untuk menjimatkan perbelanjaan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Borhan semalam bahawa lantikan baharu ke dalam perkhidmatan awam selepas ini mungkin kontrak dan bukannya tetap seperti sebelum ini.

Ini kerana kerajaan berpendapat skim pencen adalah beban utama mencecah RM28 bilion setahun dan memansuhkan skim pencen sedang dipertimbangkan.

Mengulas lanjut, Najnil berkata, sebelum ini, nasib dan masa depan penjawat awam di bawah kerajaan BN adalah fokus utama walaupun negara dilanda krisis kewangan seperti tahun 2008 serta kelembapan ekonomi dunia tidak menghalang usaha membela nasib penjawat awam dengan pemberian pelbagai insentif dan skim pencen.

Malah kata Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu itu, dalam Bajet 2018, kerajaan BN telah menetapkan pencen terendah kepada RM1,000 untuk mereka yang berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun serta pelbagai faedah lain.

“Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan membela kebajikan pesara yang banyak berjasa kepada negara di mana kerajaan saban tahun meneruskan tanggungan penjawat awam, daripada RM 22 bilion pada 2003, kepada RM 79 bilion pada tahun 2017.

“Oleh itu, untuk memastikan survival negara serta penjawat awam, kerajaan BN telah melancarkan pelbagai dasar strategik misalnya Program Transformasi Ekonomi di mana pendapatan kerajaan meningkat daripada RM185 bilion pada 2011 kepada RM225 bilion pada 2017 dengar kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) tiga peratus dalam tempoh berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette