Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR – PKR masih belum memgambil apa-apa tindakan terhadap Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kerap kali tidak hadir mesyuarat parti mahupun mesyuarat Biro Politik yang diadakan setiap minggu.

Menurut Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, hanya Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang boleh mengambil tindakan terhadap Azmin atas sikap culas beliau menghadiri sebarang mesyuarat parti.

“Setakat ini tidak ada tindakan terhadap Azmin kerana apa-apa keputusan ke arah itu diserahkan kepada MPP (Majlis Pimpinan Pusat) untuk ambil tindakan,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini.

Laporan polis itu dibuat berhubung video ceramah Naib Ketua Umno Bahagian Pokok Sena, Noran Zamini Jamaluddin merujuk posting laman sosial facebook ke atas penganalisis politik, Raja Petra Kamaruddin yang dipercayai berbaur fitnah kepada PKR.

Nik Nazmi merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang berkata tiada sebarang tindakan disiplin akan diambil PKR ke atas Azmin Ali dan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berhubung sebarang dakwaan yang dikaitkan kepada dua individu terbabit.

“Pendirian kami tetap sama – kalau ada apa-apa perkara yang berkaitan dengan pihak berkuasa, kita serah kepada kebijaksanaan penyiasat.

“Kita tidak ada apa-apa tindakan ke atas itu,” kata Saifuddin pada Khamis.

Sebelum ini, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim berkata, PKR masih belum mengenakan sebarang tindakan tatatertib terhadap Azmin yang acapkali tidak hadir mesyuarat parti.

Malah tiada surat peringatan dikemukakan kepada Mohamed Azmin setakat ini atas sebab yang sama.

Ahmad Kasim turut berkata Lembaga Displin PKR tidak mempunyai kuasa untuk memberikan sebarang tindakan terhadap orang nombor dua parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu. -MalaysiaGazette