KUALA LUMPUR – Kerajaan sepatutnya ada mekanisme berbanding pentadbiran Barisan Nasional (BN) dalam hal menjaga kebajikan kakitangan awam.
Bagaimanapun, selepas 15 bulan mengambil alih pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan, pelbagai tindakan dan langkah diambil termasuk cadangan tidak lagi melaksanakan skim pencen.
Naib Presiden Pas, Idris Ahmad terkejut dengan kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang menyatakan mulai tahun depan lantikan baharu dalam perkhidmatan awam mungkin tidak lagi dibuat di bawah skim tetap dan berpencen.
Sebaliknya, kata beliau, Datuk Seri Borhan Dolah menyatakan skim itu akan digantikan dengan skim lantikan kontrak yang ditambah baik.
“Sepatutnya sebagai sebuah kerajaan yang dinamik memikirkan mengenai mekanisma bagaimana untuk menambah baik aspek kebajikan terutama kakitangan kerajaan.
“Sebelum ini ada kakitangan kerajaan yang membuat pilihan untuk mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan skim pencen.
“Perkara ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial kerajaan dan mesti memberikan perhatian kepada masalah terutama kebajikan kakitangan awam,” katanya yang dipetik Harakahdaily, hari ini.
Idris menyatakan, kerajaan PH perlu mengkaji dengan lebih terperinci cadangan itu, memandangkan ia melibatkan kebaikan satu juta penjawat awam.
Kata beliau, alasan kononnya dapat menjimatkan perbelanjaan negara sebanyak RM5 bilion setahun sangat tidak kukuh.
“Ini merupakan satu alasan yang tidak sepatutnya diberikan oleh kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette