Modi memuji pasukansaintis angkasa ISRO untuk tidak berputus asa walaupun misi Chandrayaan 2 mendarat di bulan pagi ini gagal

NEW DELHI – Misi India untuk mendarat kapal angkasa robotik di bulan gagal semalam.

Kapal angkasa Chandrayaan-2 dilanda masalah apabila terputus hubungan dengan bilik kawalan pusat.

Perdana Menteri India, Narendra Modi bagaimanapun menyatakan rasa bangga dengan kesungguhan dan kerja keras sepasukan saintis negara itu walaupun misinya tidak tercapai pada saat-saat akhir.

Beliau bersama pasukan Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India (ISRO) berada di bilik kaca di pusat kawalan untuk menyaksikan detik bersejarah tersebut.

“Saya bangga walaupun misi nyaris tercapai itu terganggu akibat terputus hubungan saat akhir, saya harap pasukan saintis kita terus berusaha sehingga misi ini terlaksana nanti,” kata beliau.

Hubungan dengan Chandrayaan-2 terputus sebelum modul ‘Vikram’ mendarat di kutub selatan bulan.

Nasib Chandrayaan-2 yang terputus hubungan dengan pusat kawalan masih belum diketahui lagi dan sedang dianalisis saintis.

Bagaimanapun Modi menegaskan masih ada peluang untuk India meneruskan misinya sehingga tercapai dan meminta ISRO tidak berputus asa.

Andai kata misi kapal angkasa Chandrayaan-2 berjaya mendarat di bulan, ia akan menjadikan India negara keempat seiring Amerika Syarikat, Rusia dan China yang melakukan perkara sama sebelum ini.

Chandrayaan-2 telah menghampiri bulan untuk mendarat dan semuanya normal sebelum gangguan berlaku ketika kapal angkasa itu berada pada kedudukan jarak 2.1 kilometer sahaja dari permukaan bulan.

Pengerusi ISRO, Kailasavadivoo Sivan berkata, pihaknya terputus hubungan ketika tinggal beberapa saat sahaja untuk Chandrayaan 2 mendarat permukaan bulan.

Kapal angkasa seberat 3.85 tan itu dihasilkan dengan kos sebanyak AS$140 juta dolar dan membawa misi penyelidikan tanah di bulan menggunakan ‘Moon Rover’ yang dinamakan sebagai Pragyan bermaksud kebijaksanaan (bahasa Sankrit) seberat 27 kilogram.

Chandrayaan-2 dilancarkan pada 22 Julai lalu sebelum ia memasuki orbit bulan 20 Ogos lalu. – MalaysiaGazette