Setiausaha Agung PSSI, Ratu TIsha akur dengan insiden semalam dan menyerahkan kepada FIFA untuk mengambil sebarang tindakan lanjut.Foto Kredit:KOMPAS.COM/ NUGYASA LAKSAMANA

JAKARTA – Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) bersedia dihukum Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) berikutan kekecohan penyokong pasukan itu ketika berhadapan dengan Malaysia kelmarin.

Insiden pada perlawanan pertama kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asian 2023 menyebabkan beberapa penyokong Harimau Malaya cedera kerana dibaling objek dan diserang penyokong lawan.

Pada perlawanan itu pasukan tuan rumah tewas 2-3 kepada Malaysia.

Para pemain dan sebahagian penyokong Malaysia terpaksa mendapatkan perlindungan keselamatan selama beberapa jam sehingga keadaan reda dan dibenarkan pulang ke hotel mereka.

Berikutan itu, Setiausaha Agung PSSI, Ratu Tisha Destria meluahkan kekecewaannya ekoran insiden yang tidak dijangkakan daripada penyokong Indonesia, lapor kompas.com.

Katanya, insiden itu seharusnya dielak ketika Indonesia sedang melobi untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia bawah 20 tahun pada 2021.

“Kami sememangnya sangat kecewa dengan perkara ini terutamanya ketika aksi Kelayakan Piala Dunia.

“Ini kali pertama Indonesia beraksi selepas tamat tempoh hukuman dikenakan daripada FIFA sebelum ini.

“Jangan jadikan alasan terlalu sayangkan bola sepak sebagai alasan untuk melanggar peraturan,” katanya seperti dipetik kompas.com sejurus tamat perlawanan.

Katanya, PSSI harus menerima apa juga keputusan FIFA.

“Ya kami harus terima (tindakan FIFA). Kalau salah, ya kami terima saja, Fair Play saja,” kata beliau yang merujuk kepada tindakan yang akan dikenakan FIFA berikutan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang akan membuat aduan kepada badan bopla sepak dunia itu. – MalaysiaGazette