Ir. Izham Hashim

BANGI – Parti Amanah Negara (Amanah) berkata langkah penyatuan parti antara Pas dan UMNO adalah sesuatu yang bahaya kepada masyarakat, malah ia mampu menggugat keseimbangan masyarakat majmuk di negara ini.

Menurut Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim, kaedah itu mampu menimbulkan ketegangan kaum kerana agenda ini hanya mempertahan satu kaum sahaja.

“Kita kena ingat ini bukan satu usaha atau agenda yang boleh dipandang remeh atau ringan. Ini satu agenda yang mereka bina dan teruskan sehigga pilihan raya umum (PRU) akan datang dan seterusnya.

“Ini adalah bahaya kerana bagi kita mereka tidak ada rasa malu dan segan untuk membuat apa saja asalkan cita-cita politik mereka tercapai.

“Walaupun agenda mereka boleh menyebabkan perbalahan, pergeseran berpanjangan antara kaum dan agama, mereka tidak peduli.

“Kita kena ingat, jangan kita biarkan naratif ini berpanjangan tanpa sediakan satu penyelsaian yang mewakili konsep ‘rahmatan lil alamiin’,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Angkatan Wanita Amanah (AWAN) Selangor di Bangi Golf Resort, hari ini.

Jelas beliau, penyatuan ummah antara Pas-UMNO tidak tidak mempedulikan kesan yang akan timbul kepada masyarakat dan hanya memenuhi agenda politik masing-masing.

Amanah sebagai satu gabungan dalam Pakatan Harapan (PH) perlu bangkit menolak konsep itu dengan memerangi sentimen perkauman dan agama yang dimainkan kedua-dua parti pembangkang itu.

Katanya, jika naratif itu tidak ditangani dengan betul dan tepat, ia boleh menggugat agenda Malaysia Baharu yang didukung Pakatan Harapan (PH).

“Kita akan menjadi penyelamat bersama rakan dalam PH untuk membangunkan Malaysia yang lebih harmoni dan aman,” katanya.

Pas-UMNO bakal memeterai Piagam Muafakat Nasional antara kedua-dua parti pada 14 September depan.

Untuk rekod, kedua-dua parti itu sebelum ini, setuju untuk menjalinkan kerjasama secara Ta’awun Siyasi yang menyentuh semua isu melibatkan kepentingan nasional. -MalaysiaGazette