Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran

KUALA LUMPUR – “Tidak timbul langsung soal boikot barangan bukan Islam seperti yang di dakwa oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Malah saya sebagai Presiden MIC telah menyoal Pas dan UMNO dalam dua mesyuarat berasingan baru-baru ini tentang perkara itu dan dalam perjumpaan dengan kepimpinan MIC dan Pas, saya lontarkan kebimbangan ini, saya diberitahu oleh mereka tidak ada langsung isu boikot sebaliknya hanya mempromosi barangan muslim serta mencungkil bakat usahawan muda,” kata Tan Sri SA Vickneswaran.

Menurutnya, ketika perjumpaan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga bersaksikan dengan MCA, jawapan beliau pula pihaknya sentiasa menyokong usahawan bumiputera sejak dahulu lagi tetapi isu memboikot produk bukan Islam tidak benar sama sekali.

Itu pendedahan oleh Presiden MIC  kepada MalaysiaGazette sambil menafikan dakwaan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP kononnya UMNO dan Pas menyokong kempen memboikot barangan buatan bukan Islam.

Kata Vigneswaran yang juga Yang Dipertua Dewan Negara, beliau sememangnya tidak nampak tindakan menyokong serta mempromosi barangan Muslim bersamaan dengan memboikot produk bukan Islam dan Melayu.

“Sudah tentu saya tanya apabila isu ini timbul, saya terus bertanya kepada Pas, kepada UMNO di hadapan pimpinan MCA sendiri. Kami juga mahu jawapan seandainya apa yang diperkatakan ini benar.

“Sebaliknya kami di beritahu tidak ada langsung usaha memboikot sebaliknya hanya memberikan sokongan kepada golongan usahawan muda bumiputra untuk lebih berjaya dalam perniagaan mereka.

“Ini kerana pada pendapat mereka, kerajaan ketika ini tidak melakukan usaha yang cukup baik bagi mempromosi produk golongan ini sehingga parti politik pula yang terpaksa mengambil inisiatif sedemikian.

“Anda ada kuasa, anda juga Menteri Kewangan, mungkin ada baiknya untuk kaji apakah jalan terbaik bagi mempromosi dan membantu golongan bumiputra, janganlah bagi komen tidak adil seperti ini,” katanya hari ini.

Mesyuarat MIC dan Pas baru-baru ini.

Hari ini, Guan Eng mengecam MCA dan MIC kerana tidak menentang dan secara terang-terangan menyokong UMNO dan Pas bagi kempen memboikot barangan buatan bukan Islam.

Guan Eng juga mengkritik pemimpin-pemimpin Pas dan UMNO yang terus memberi sokongan kepada kempen tersebut.

Dalam pada itu, kata Vigneswaran lagi, kerajaan seharusnya memberi perhatian lebih khusus dalam menangani isu itu daripada cubaan menyalahkan parti politik khasnya pembangkang.

“Jika kerajaan pada masa ini mampu tampil memberikan cadangan jauh lagi bernas dan bermanfaat, mengapa pula parti politik seperti UMNO dan Pas promosi dan bantu golongan bumiputra?

“Saya rasa anda mempunyai peluang lebih ‘cerah’ untuk selesaikan isu ini. Banyak sangat spekulasi dan dakwaan tidak betul sehingga meresahkan rakyat. Jangan buat begini kepada pengundi anda,” ujarnya. –MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Isu boikot produk bukan Islam: MCA, MIC tak tahu malu, kata Guan Eng

1 Komen

  1. Sebagai muslim saya juga akan menggunakan produk halalan thoyiban.
    Tapi sebagai muslim juga harus utk saya gunakan produk yg murah, berkualiti & selamat walaupun bukan produk non muslim tapi telah disahkan halal yg dikeluarkan oleh Jakim.
    Sekarang umno nak cuba elakkan isu ini.
    Cuba tanya siapa yg awal dulu berkempen utk boikot produk non muslim?
    Tapi apabila mca sama suku dgn LGE dap tu mula pertikaikan, umno & pas mula tukar tajuk.
    Utamakan produk muslim.
    Ingatkan rakyat bodoh ke?

Comments are closed.