KUALA LUMPUR – Baru-baru ini timbul ‘cerita’ kononnya Tan Sri M Kayveas telah menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diberikan nama PPP.
Malah khabar angin itu yang sudah mula menular dalam kalangan pengguna laman sosial seperti Whatsapp dan Facebook.
Mereka mendakwa Kayveas menubuhkan NGO itu selepas mendapat kelulusan permohonan rayuan pendaftaran tersebut.
MalaysiaGazette juga melalui sumber telah diberikan sekeping salinan pendaftaran NGO ‘PPP’ itu yang telah mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 7 Ogos lalu.
Bagaimanapun ketika MalaysiaGazette menghubungi Kayveas bagi mendapatkan kepastian, beliau melahirkan rasa terkejut kerana langsung tidak tahu menahu tentang penubuhan NGO itu mahupun tentang keputusan ROS berhubung rayuan pembatalan parti MyPPP sebelum ini.
“Ini semua kerja orang gila sahaja. Mengapa pula saya hendak tubuhkan NGO gantikan parti MyPPP ini? Saya tidak tahu langsung tentang perkara ini tetapi kalau kamu tanya adakah saya, pastinya jawapan itu bukan saya.
“Pada masa ini saya sedang menunggu keputusan ROS dan rasa-rasanya jawapan itu adalah positif, jadi mengapa pula mahu tubuhkan NGO? Mungkin ada pihak ‘berkepentingan’ yang selama ini lakukan kacau bilau buat semua ini tapi bukan saya.
“Mengapa pula mahu turunkan taraf PPP kepada NGO? Mengapa perlu kegilaan seperti ini?
“Ini juga tidak akan jadi isu, tunggu sahaja keputusan dari ROS. Saya ada banyak perkara lain yang perlu dan sedang dilakukan oleh saya, tidak akan buang masa dengan isu seperti ini,” katanya ringkas sebentar tadi.
Awal tahun ini ROS telah bertindak membatalkan pendaftaran MyPPP.
Pembatalan itu dibuat Ketua Pengarah ROS, Masyati Abang Ibrahim menerusi notis kepada parti berkenaan, yang mana salinannya turut diserahkan kepada Kayveas, dan Datuk Seri Maglin Dennis D’Cruz.
Menurut notis itu, keputusan membatalkan pendaftaran MyPPP dibuat berikutan rayuan dikemukakan parti itu tidak menunjukkan sebab yang mencukupi.
Kayveas berkata, pihaknya mempunyai beberapa pilihan dan tindakan yang akan diambil sekiranya keputusan pembatalan itu kekal selepas rayuan dibuat.
Katanya, antara yang boleh dilakukan termasuklah mendaftarkan semula MyPPP, menubuhkan parti baharu atau berpindah kepada parti politik yang lain. –MalaysiaGazette