Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Malaysia mengambil keputusan berkecuali daripada mana-mana tindakan unilateral dalam isu perang perdagangan berterusan antara China dan Amerika Syarikat.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perang perdagangan antara dua kuasa besar ekonomi ini mempunyai kesan yang memudaratkan kepada kepentingan semua negara terutamanya bagi negara-negara ekonomi kecil.

Menurutnya, Malaysia akan menantikan hasil yang positif dan konstruktif apabila kedua-dua ekonomi terbesar dunia kembali ke meja rundingan pada awal Oktober yang akan datang.

Pada masa yang sama, Malaysia akan terus mengukuhkan hubungannya dengan rakan-rakan serantau ASEAN dan meneruskan kerjasama bagi membangun sinergi dengan China dan Amerika Syarikat, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ini kerana, Malaysia yakin pendekatan melalui kerangka multilateral itu adalah cara terbaik untuk memajukan kepentingan semua pihak. – MalaysiaGazette