PETALING JAYA – Masalah jerebu yang membelenggu negara sejak bulan lalu cukup meresahkan penduduk tempatan terutama mereka yang mempunyai masalah lelah atau asthma.
Disebabkan perubahan cuaca ini, orang ramai terpaksa membataskan aktiviti harian di luar rumah bagi menjaga kesihatan masing-masing.

Seorang wanita, Datin Aspalela Mohd Yusop , 52, yang mempunyai sejarah asthma berkata, setiap kali jerebu melanda, beliau sungguh bimbang.
Ini kerana, jerebu menyebabkan pergerakan hariannya terbatas untuk mengelak terdedah kepada habuk di luar.
“Memang saya jarang keluar dengan cuaca sekarang panas dan jerebu.
“Saya ada asthma, lagilah sukar pergerakan sekarang. Saya keluar bila ada hal penting sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette yang membuat tinjauan di Taman Tun Dr Ismail hari ini.

Seorang warga emas, Simon Wong, 62, pula kecewa dengan jerebu yang kerap melanda negara meskipun ia disebabkan peladang-peladang di negara jiran.
“Setiap tahun jerebu melanda negara ini, macam sudah tidak boleh dielakkan lagi. Tapi apa kita boleh buat,” ujarnya,

Bagi penunggang motosikal, Abdul Shakur Abdul Manan, 25, turut melahirkan rasa tidak selesa dengan jerebu yang melanda Lembah Kelang.
Katanya, dia terpaksa memakai penutup hidup bagi mengurangkan rasa tidak selesa akibat menghidu asap. – MalaysiaGazette
















