Semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini diminta mengadakan solat hajat bagi mendoakan agar anggota mereka, Wan Mohd Arif Wan Yahya, yang dikhuatiri lemas dan hilang di Sungai Paka dekat Kampung Durian Mentangau, Dungun, Jumaat lepas ditemui.
JOHOR BAHRU – Sepasang suami isteri ditahan selepas dipercayai mencuri pelbagai barangan termasuk sejumlah susu di sebuah pasar raya di Southkey, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Shahurinain Jais berkata, lelaki berumur 53 tahun dan wanita berumur 49 tahun dari Senai dekat Kulai itu didapati mencuri beberapa barangan termasuk 10 tin susu jenama Ensure 850 gram, empat tin susu Glucerna 850 gram, satu tin susu Enercal Plus 900 gram, dua tin Appeton Wellness 60+ 900 gram, dua kotak Pati Ayam Brands (Original) 30×70 gram dan lima kotak Pati Ayam Brands (Cordyceps) 12×70 gram.

Beliau berkata, kejadian pada 7.40 malam itu disedari seorang pengawal keselamatan pasar raya berkenaan yang sedang melakukan rondaan di parkir kereta apabila ternampak seorang lelaki dalam keadaan tergesa-gesa menolak sebuah kereta sorong bayi menuju ke sebuah kereta di parkir pasar raya berkenaan.

“Pengawal keselamatan itu kemudian bertindak menahan lelaki terbabit dan terus memintanya mengemukakan resit bayaran, namun, lelaki itu gagal mengemukakannya. Hasil pemeriksaan di dalam but sebuah kereta jenis Proton Perdana kemudian menemukan pelbagai barang-barang yang dipercayai dicuri itu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Shahurinain, pasangan suami isteri itu cuba melarikan diri, namun, suami tersebut berjaya ditahan di kawasan parkir manakala isterinya ditahan di laluan keluar tangga eskalator pasar raya itu.

Beliau berkata, rakaman kamera litar tertutup (cctv) jelas menunjukkan perbuatan keduanya mencuri barangan berkenaan.

“Rakaman menunjukkan si suami berpura-pura menolak kereta sorong bayi manakala si isteri bersedia di dalam kedai dan mengalihkan kedudukan barang yang dicuri ke ruang tempat tiada staf.

Si isteri kemudiannya memasukkan barang ke dalam kereta sorong bayi yang ditolak si suami dan selepas itu, suami tersebut keluar daripada kedai dan meletakkan barang dicuri di dalam kereta sementara si isteri berpura-pura seperti tidak mahu membeli barang dan keluar dari kedai,” katanya.

Beliau menambah, kesemua barangan yang dicuri termasuk sebuah kereta sorong bayi berwarna hitam yang digunakan bagi tujuan mencuri itu kini dirampas untuk siasatan lanjut.

Katanya, hasil soal siasat, kedua-duanya mengaku mencuri kesemua barang tersebut selain mengakui perbuatan terbabit merupakan kali kedua dengan alasan mereka tidak bekerja dan barangan yang dicuri tersebut akan dijual semula bagi mendapatkan wang.

Siasatan mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod berkaitan curi pada tahun 2011 dan 2013 manakala isterinya tiada rekod jenayah.

“Polis akan memohon reman terhadap keduanya hari ini bagi membolehkan mereka disiasat lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya. – MalaysiaGazette