iPhone 11 yang baharu dilancarkan pada Selasa.

KUALA LUMPUR- Kurang 24 jam selepas didedahkan kepada umum, iPhone 11 menjadi mangsa kecaman dan bahan lawak kepada warga net kerana rekaannya yang jauh ketinggalan berbanding rekaan sebelum ini yang terkenal dengan elegan dan kemas.

Ada yang menggelarkan model terbaharu telefon pintar Apple ini sebagai bola boling, buah kelapa, tungku dapur dan Pikachu.

Bagi peminat iPhone tempatan pula, demam boba yang sedang hangat ketika ini membuatkan mereka mengaitkan rekaan kamera iPhone 11 itu seperti jeli di dalam minuman yang berasal dari Taiwan itu.

iPhone 11 merupakan iPhone pertama yang dilancarkan oleh Apple selepas Ketua Perekanya, Jony Ive meninggalkan syarikat Julai lalu.

Bagi iPhone 11, ia mempunyai dua kamera yang diletakkan sebaris manakala iPhone 11 Pro dan Pro Max mempunyai tiga kamera yang disusun dengan membentuk segi tiga.

Berharaga di antara RM3,399 (simpanan dalaman 64GB), RM3,599 (RM128GB) dan RM4,099 (256 GB) peranti terbaharu itu tersedia dalam enam warna iaitu putih, hitam, hijau, kuning, ungu dan merah.

iPhone 11 Pro pula berharga di antara RM4,899 sehingga RM6,499 manakala iPhone 11 Pro Max berharga di antara RM5,999 sehingga RM6,8999.

Kesemua iPhone 11 akan berada di pasaran Malaysia bermula 27 September ini. – MalaysiaGazette