KUALA LUMPUR – Mungkin umum masih lagi ingat bagaimana penyanyi dan penerbit Tamil tempatan, Datin Seri Shaila Nair membuat penampilan khas dalam filem ‘Kabali’ lakonan Rajinikanth?

Dalam filem itu, Shaila membawa watak seorang pegawai polis kanan.

Walaupun kemunculannya hanya seketika namun lakonan itu masih diingati peminat filem Tamil tempatan, khasnya yang mengikuti perkembangan seni beliau.

Ketika itu, ada juga peminat yang tidak puas kerana watak yang dipegang Shaila dalam Kabali hanya sekejap sahaja walhal lakonan beliau dalam filem Mayangaathey bersama C Kumaresan cukup mempersonakan penonton sehingga ternanti filem berikutnya.

Seperti ada kesinambungan, kini anda boleh menyaksikan lakonan Shaila dengan watak polis melalui filem Tamil tempatan ‘Pulanaivu’ (penyiasatan) terbitan Shaiba Vision dan Story Films yang akan ditayangkan pada 14 November ini.

Filem ini diarahkan oleh pelakon dan pengarah muda, Shalini Balasundaram, nama yang tidak asing dalam dunia hiburan Tamil.

Malah MalaysiaGazette difahamkan, Shalini turut bergandingan dengan suaminya, Satish Natarajan untuk mengarahkan filem genre ‘thriller romantik’ buat kali pertama.

Dari ‘Geethaiyin Raadhai’ (2016) disusuli ‘Thirudathey Papa Thirudathey’ dan telemovie ‘Rail Payanangal’ (2018), Pulanaivu juga dinantikan peminat.

Filem-filem terdahulu bukan sahaja sarat dengan pelbagai mesej sosial, membabitkan kehidupan seharian komuniti India disusuli emosi, lagu dan muzik, Pulanaivu pasti mampu mencapai kejayaan sama.

Ketika bercakap kepada MalaysiaGazette baru-baru ini, Shaila berkata, Pulanaivu merupakan satu pengalaman baharu yang cukup mencabar namun tanggungjawab itu telah memberi kepuasan kepada beliau.

“Membawakan watak ini dalam Pulanaivu adalah pengalaman baharu cukup mencabar namun kepuasan sebagai anak seni dalam diri saya membuatkan saya lebih daripada teruja sebenarnya.

“Filem berkisar jenayah dan penyiasatan sudah tentunya dengan elemen romantik, itu sahaja yang dapat saya beritahu pada masa ini tapi pastinya penonton akan berpuas hati selepas menonton.

“Selepas hampir tiga tahun filem terakhir, ini bukan sahaja satu ‘come back’ yang saya teruja sebaliknya merupakan satu kolabrasi unik bersama Shalini dan Sathish melalui Story Films. Mereka berdua bijak dan amat kreatif dalam mengolah skrip mengikut selera yang cukup dengan semua elemen.

“Ini adalah satu watak yang sesuai untuk saya, jalan penceritaan serta skrip menarik dan mencabar, saya sangat berharap ia akan mendapat sambutan baik daripada anda semua,” katanya.

Selain daripada mengarah dan menerbit, Shaila dan Shalini juga memegang watak utama dan penting dalam Pulanaivu, juga yang lain-lain seperti Kabil Ganesan, Saran, Krithigah Nair, Shabby, Irfan, Pashini, Phoenix Dhasan serta ramai lagi.

Setakat ini, ‘single’ pertama lagu Pulanaivu bertajuk ‘En Sogame’ nyanyian Shakthisree Gopalan dengan arahan muzik oleh Jey Raggaveindra mencatatkan 180,000 tontonan sejak ia dilancarkan beberapa minggu lalu. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.