John Bolton. foto Agensi

WASHINGTON – Presiden Donald Trump memaklumkan telah memecat Penasihat Keselamatan Kebangsaan, John Bolton kerana sudah tidak sependapat dengannya.

“Saya telah meminta Bolton melepaskan jawatan, yang mana beliau kemukakan kepada saya pagi ini,” kata Trump menerusi Twitter.

Tambahnya, pengganti Bolton akan dibuat minggu depan.

Sejurus Tweet Trump, Bolton pula membuat kenyataan menerusi Twitternya.

Beliau memaklumkan dia sendiri telah menawarkan untuk melepaskan jawatan.

Sebaliknya, Bolton berkata Trump memaklumkan kepadanya: “Kita bercakap mengenainya esok”.

Tetapi Bolton menegaskan dia perlu berhenti dan brjanji untuk mengatakan puncanya “dalam masa terdekat”.

Beliau tidak bersetuju dengan presiden mengenai beberapa dasar luar, dari Afghanistan ke Iran.

Bolton, yang berkhidmat sejak April 2018, adalah Penasihat Keselamatan Kebangsaan ketiga Trump selepas Michael Flynn dan HR McMaster.

Selepas berita itu diketahui umum, Bolton mesej kepada Fox News secara langsung di TV dengan menegaskan bahawa beliau telah meletak jawatan sebagai Penasihat Keselamatan Kebangsaan.

Beliau juga menghantar mesej kepada wartawan Washington Post, Robert Costa untuk mengatakan, “Saya akan mengatakan pendirian saya tidak lama lagi dan “Kebimbangan saya adalah keselamatan negara Amerika Syarikat”. – MalaysiaGazette