Ahmad Amzad Hashim
Ahmad Amzad Hashim

KUALA LUMPUR – Cadangan kerajaan untuk menggabungkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dilihat satu langkah keterbelakang.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim, walaupun beliau belum mempunyai maklumat yang jelas berhubung penggabungan itu tetapi jika berlaku, ia menggagalkan usaha kerajaan negeri mempromosi Terengganu sebagai destinasi yang mempunyai pelbagai pilihan universiti untuk pengajian tinggi.

“Dua universiti ini telah mencipta nama dengan kecemerlangan dalam pengkhususan tertentu, misalnya UMT menjadi tumpuan bagi kajian Sains Samudera dan Hidrografi.

“Manakala UniSZA pula sinonim dengan kecemerlangan dalam bidang pengajian perubatan. Sudah tentu perencanaan pernyataan misi dan visi masing-masing serta perancangan korporat jangka panjang perlu dirombak dan diubah suai,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Jumaat minggu lalu, sebuah portal menyiarkan artikel bertajuk, Putrajaya may merge 2 Terengganu Universities yang berkaitan hasrat Kementerian Pendidikan menggabungkan kedua-dua universiti berkenaan di Terengganu.

Berikutan itu, timbul kenyataan pro dan kontra dari pakar akademik yang bersetuju manakala penuntut kedua-dua universiti berkenaan pula membantahnya.

Menurut Ahmad Amzad, bagi rakyat Terengganu, mereka merasa kecewa dengan keputusan itu.

“Ketika kita menyerahkan Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) kepada kerajaan Persekutuan dahulu, ia datang dengan satu kefahaman bahawa Terengganu akan mempunyai satu lagi universiti yang menjadi pilihan selain UMT dan UiTM.

“Universiti ini akan terus berkembang maju mencipta nama sebagai dua entiti universiti yang unggul di bumi Terengganu.

“UniSZA sendiri masih mengekalkan nama Almarhum Sultan Zainal Abidin sebagai mengambil kesinambungan dari KUSZA yang pada asalnya menjadi milik kerajaan bawah naungan Sultan Terengganu,” katanya.

Bagaimanapun, tegasnya karakternya sebagai institusi pengajian pelbagai bidang dengan berteraskan persekitaran yang Islamik semakin pudar identitinya apabila ia diserahkan kepada kerajaan Persekutuan suatu ketika dahulu.

Ditambah pula, katanya, dengan keputusan penggabungan UMT dengan UniSZA, bagaimana pula falsafahnya nanti?

“Masih adakah kelebihan tertentu untuk rakyat Terengganu dari segi kuota pengambilan pelajar atau peluang menjadi pensyarah dan kakitangan universiti?

“Saya difahamkan ia berkaitan dengan faktor kos pengurusan supaya cuma ada satu lembaga, senat, canselor, vice canselor dan logik lain yang sebegitu.

“Saya fikir kecemerlangan pendidikan tidak dapat tidak, jangan sesekali cuba dipisahkan dengan komitmen jelas kerajaan untuk terus melabur dan sentiasa meningkat pelaburan dalam sektor pendidikan,” katanya.

Dalam hal ini, ujar beliau, kerajaan perlu ada peruntukan yang sentiasa dipertingkatkan untuk mengembangkan setiap universiti supaya naik satu tahap lagi.

Geran penyelidikan dan pembangunan, kajian dalam bidang baru yang berpotensi untuk manfaat negeri, negara dan dunia secara keseluruhannya perlu terus dicari jalan penambahan nilai ringgit pelaburan dan juga kualiti keberhasilan.

Beliau tidak mahu ia disamakan seperti menguruskan entiti perniagaan dengan institusi universiti. – MalaysiaGazette