Khairul Dzaimee Daud

PUTRAJAYA – Tingkah laku seorang wanita yang hanya tersenyum setiap kali soalan diajukan kepadanya menyebabkan pegawai Imigresen mengesyaki individu Cina yang berada di hadapannya untuk memohon pasport antarabangsa Malaysia itu sebenarnya bukan rakyat tempatan.

Walaupun wanita berkenaan menyerahkan Mykad yang didakwa miliknya itu kepada pegawai Imigresen ketika ingin memohon pasport antarabangsa, namun dia gagal untuk menjawab soalan yang diajukannya dalam bahasa Malaysia.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata kes di pejabat imigresen di Pulau Pinang itu adalah yang pertama tahun ini, yang membawa kepada pembongkaran kegiatan pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan secara tidak sah.

Bercakap kepada Bernama di pejabatnya di sini, beliau berkata kes itu kini di bawah siasatan polis.

Menceritakan bagaimana pegawainya mengesan penipuan itu, Khairul Dzaimee berkata kejadian bermula apabila rakyat China itu datang ke kaunter Imigresen memohon untuk membuat pasport antarabangsa Malaysia dan menyerahkan MyKad miliknya untuk diteliti oleh pegawai Imigresen.

“Apabila pegawai Imigresen bertanyakan soalan, dia gagal menjawab kerana tidak menguasai bahasa Malaysia…tidak boleh menjawab satu soalan (pun) yang dikemukakan, jadi timbul syak wasangka pegawai Imigresen yang bertugas,” katanya.

Beliau berkata berikutan itu pegawai Imigresen berkenaan membuat laporan kepada polis mengesyaki MyKad yang diguna oleh warga China itu diperoleh secara tidak sah.

“Saya tidak boleh ulas lanjut kerana masih dalam siasatan polis tetapi ia bermula daripada laporan yang dibuat oleh pegawai Imigresen itu,” katanya.

Susulan laporan, wanita itu ditahan polis sebelum dituduh di mahkamah, dan susulan itu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuat laporan polis mengenai kegiatan pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan secara penipuan yang berlaku di JPN Pulau Piinang.

Polis kemudian membuat risikan dan mendapati wujud rangkaian sindiket yang didalangi beberapa individu, terlibat dalam membuat, memperolehi, menjual dan memiliki dokumen pengenalan diri serta sijil lahir palsu bertujuan mendapatkan dokumen perjalanan bagi memudahkan perbuatan keluar masuk Malaysia oleh individu yang bukan warganegara atau pemastautin tetap di Malaysia.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata polis menahan 20 individu termasuk seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang disyaki terlibat dengan aktiviti pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan secara tidak sah.

Mereka yang ditahan di Pulau Pinang 19 Ogos lepas, terdiri daripada 15 lelaki dan dua wanita tempatan, seorang lelaki dan seorang wanita warga China serta seorang lelaki warga India, dan hari ini Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang dan lima individu didakwa di Mahkamah Sesyen atas 32 pertuduhan berkaitan kes sijil lahir dan MyKad yang tidak sah.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast