Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan kumpulan yang kebelakangan ini begitu galak mengungkit kisah-kisah lama UMNO dan Pas seperti gila talak.

“Yang mengungkit itu bukan orang Pas dan juga bukan orang UMNO. Apa yang berlaku antara Pas dan UMNO biar kita selesaikan dan kita telah selesaikan.

“Orang yang mengungkit itu pun sudah keluar dari Pas dan juga sudah keluar dari UMNO, kata orang gila talak,” katanya dalam sidang media di Rusila, Terengganu yang disiarkan secara langsung di laman Facebook.

Ditanya mengenai pelbagai kenyataan terutama dari barisan kepimpinan Pakatan Harapan mengenai Himpunan Perpaduan Ummah, kata Ahli Parlimen Marang itu, suara-suara seumpama iu menandakan kegelisahan yang berlaku dan ketakutan.

Katanya, mana-mana pihak sekali pun tidak perlu takut sebenarnya kerana HPU dilangsungkan mengikut saluran undang-undang di dalam sebuah negara demokrasi yang menganjurkan kebebasan.

“Sepatutnya mereka gembira dengan penyatuan, ini kerana apabila banyak parti maka banyak  berpecah hujah rakyat.

“Gabungan ini membuatkan rakyat semakin bersatu, jangan kita takut kerana kuasa kita, kita kena takut akan tanggungjawan kita kepada rakyat, itu yang penting,” katanya.

Mengenai HPU yang acaranya kemuncaknya esok bakal menyaksikan presiden Pas dan UMNO berucap selain memeterai satu piagam, Abdul Hadi berkata, perhimpunan tersebut menjurus kepada penyatuan rakyat khususnya orang Melayu di negara ini.

Pada masa yang sama, katanya, inisiatif tersebut tidak meminggirkan masyarakat majmuk, justeri semua pihak tidak perlu bimbang kerana tiada sebarang unsur perkauman diselitkan sebaliknya apa yang berlaku mengikut acuan yang diajar Nabi Muhammad SAW.

“Nabi memulakan penyatuan ummah bersama orang Arab, selepas itu dengan kaum-kaum lain sama ada mereka memeluk Islam atau berada di bawah kepimpinan orang Islam.

“Kita nak hidupkan semula kefahaman ini, ini titik persamaan Pas-UMNO sejak merdeka lagi, dan difahami parti-parti lain seperti MCA dan MIC,” katanya.

Abdul Hadi turut diminta mengulas kenyatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggesa supaya Presiden Pas itu menarik balik kenyataan mengkafirkan UMNO.

Beliau mengulangi penegasan bahawa itu adalah urusan Pas dan UMNO malah ia telah diselesaikan secara ilmiah.

Katanya, di pihak UMNO menerusi Jabatan Perdana Menteri telah mengeluarkan buku serta penjelasan mengenai isu tersebut dan pihaknya juga telah berbuat demikian.

“Buku itu dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri, sama ada dia baca atau tidak saya tidak tahu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast