Hamidin Mohd Amin.

KUALA LUMPUR – Datuk Hamidin Mohd Amin hari ini dipilih sebulat suara sebagai Presiden Malaysian Football League (MFL) menerusi undian yang dilakukan pada mesyuarat Rakan Kongsi Liga 2019 di Petaling Jaya.

Hamidin merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejak Julai 2018 selepas pengunduran Tunku Ismail Sultan Ibrahim daripada jawatan itu pada awal 2018.

Hamidin dipilih selepas 23 rakan kongsi yang merupakan pemegang taruh MFL bersetuju meminda Perlembagaan MFL yang mana status jawatan Pengerusi ditukar kepada Presiden dengan calon untuk menduduki kerusi tertinggi itu adalah dalam kalangan Ahli Lembaga Pengarah MFL serta tidak terikat dengan mana-mana pasukan atau kelab Liga Malaysia.

Perubahan itu sekali gus menyaksikan Hamidin dipilih mengambil alih teraju MFL daripada pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) iaituTunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim selaku Pengerusi MFL.

“Ini satu penghormatan besar diberikan oleh semua pemegang taruh MFL dan dalam masa yang sama cabaran berat untuk saya pikul.

“Saya akan berusaha untuk memegang amanah ini dengan baik namun saya mengharapkan sokongan padu semua pihak untuk bergerak sama melaksanakan gagasan yang sudah diasaskan oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail.

“Saya sebenarnya berat untuk memikul jawatan ini tetapi atas kepercayaan yang diberikan daripada Rakan Kongsi Liga dan demi stabilkan keadaan untuk bola sepak negara, saya bersetuju dengan pemilihan ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau juga menagih sokongan semua pihak untuk mengimbangi tuntutan selaku Presiden FAM dan Presiden MFL.

Dalam pada itu, beberapa pemegang taruh menganggap pemilihan Hamidin untuk mengemudi MFL tepat berdasarkan beliau boleh bersikap neutral dan tidak mewakili mana-mana pasukan Liga Malaysia.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Tajul Hasnan Omar percaya perubahan besar kepada pucuk pimpinan MFL akan meleraikan persepsi berhubung konflik kepentingan yang membelenggu badan pentadbir Liga Malaysia itu.

Malah Tajul dan semua pemegang taruh juga yakin dengan keupayaan Hamidin untuk meneruskan legasi Tunku Ismail yang telah melakukan banyak perubahan positif kepada lanskap Liga Malaysia.

“Hari ini kita menyaksikan pindaan perlembagaan di mana jawatan Pengerusi MFL ditukar kepada Presiden MFL dalam Mesyuarat Rakan Kongsi Liga.

“Ini bukanlah satu perkara baharu dalam bola sepak dunia di mana pendekatan ini telah diguna pakai di pentas Eropah antara contohnya LaLiga,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP), Mohd Azizudin Mohd Shariff juga menyambut baik pemilihan Hamidi sebagai langkah tepat untuk mengelakkan isu konflik kepentingan.

“Kini, pertukaran jawatan kepada Presiden MFL itu menyaksikan individu terbabit bukan sahaja memiliki hubungan terus dengan pasukan bertanding sebaliknya wakil pasukan sendiri tidak boleh dipilih sebagai Presiden MFL bagi mengelakkan isu konflik kepentingan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Andrew W Majanggim turut mengiktiraf Hamidin sebagai individu paling layak untuk menjadi Presiden MFL.

“Keupayaan dan kredibiliti Datuk Haji Hamidin tidak perlu dipersoalkan di mana semua ahli pemegang taruh sangat yakin beliau mampu melaksanakan tugas itu dengan baik,” ujarnya.

Hamidin, 54 yang memulakan kerjayanya dalam pentadbiran dan pengurusan bola sepak selaku Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada 1995, adalah presiden profesional pertama FAM yang juga presiden pertama bukan golongan ahli politik mahupun kerabat diraja sejak Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj menjadi presiden FAM pada 1951. – MalaysiaGazette