Datuk Ahmad Jazlan Yaakub

KUALA LUMPUR – Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) yang berlangsung hari ini ditakrif sebagai penyatuan Melayu terbesar dalam demografik politik tempatan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, sambutan yang diberikan oleh kedua-dua parti dan ahli-ahlinya amat luar biasa dan ia merupakan suatu pengorbanan besar oleh parti tersebut yang dahulunya tidak seiring.

Malah, kehadiran pemimpin dan ahli parti-parti komponen Barisan Nasional serta Muafakat Nasional turut menterjemahkan penyatuan ini meraikan kepelbagaian agama dan bangsa bukannya suatu ancaman kepada mana-mana pihak.

“Saya amat yakin penyatuan ini akan memberi limpah rahmat kepada seluruh rakyat tanpa kita mengira bangsa dan agama melalui pentadbiran sebelum ini.

“Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dengan perjuangan penyatuan ummah kerana kita berjanji untuk mengembalikan kestabilan ekonomi, keharmonian dan kemakmuran negara pada rakyat Malaysia kerana itu adalah hak rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette