Loji minyak Aramco yang terbakar akibat serangan dron pada 15 September lalu. foto Agensi

DUBAI (Reuters) – Iran menafikan tuduhan memainkan peranan dalam serangan terhadap loji minyak Arab Saudi.

Menurut jurucakap Kementerian Luarnya, Abbas Mousavi, tuduhan tersebut tidak boleh diterima dan tidak berasas.

“Kami mengecam pihak yang menuduh Iran terlibat dalam serangan berkenaan.

“Ianya tidak boleh diterima dan tidak berasas sama sekali,” katanya dalam satu ucapan yang disiarkan di stesen televisyen negara berkenaan.

Ahad lalu, seorang pegawai kanan Amerika Syarikat memberitahu wartawan, bukti yang diperolehi daripada serangan terbabit menunjukkan Iran sebagai dalangnya dan bukannya kumpulan Houthi dari Yaman.

Houthi sebelum ini mengaku bertanggung jawab menyerang loji minyak Aramco dengan menggunakan dron.- Agensi