Sebahagian gelagat pelajar sekolah yang memakai topeng muka kerana terjejas akibat jerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 163 API yang dipaparkan di laman sesawang apims.doe.gov.my sekitar jam 1 petang ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 17 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 23 buah sekolah di dua daerah Manjung dan Hilir Perak di Perak ditutup hari ini ekoran tahap jerebu yang menunjukkan bacaan tidak sihat.

Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali berkata, penutupan 23 buah sekolah melibatkan 7,286 pelajar di dua daerah itu iaitu Manjung 14 sekolah dan Hilir Perak melibatkan 9 sekolah.

“Penutupan itu dilaksanakan selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara menunjukkan paras tidak sihat melebihi 200,” katanya dalam kenyataan.

Sehingga petang tadi tren bacaan IPU juga menunjukkan peningkatan pada sesi petang secara berterusan.

Mengikut pecahan enam sekolah kebangsaan, Kolej Vokasional Teluk Intan dan selebihnya sekolah menengah yang ditutup operasi pembelajaran hari ini demi kesihatan pelajar dan guru.

Sebarang perubahan atau maklumat terbaru akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Pihak sekolah telah diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dan mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa.- MalaysiaGazette