Ahli Parlimen Port Dikcson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KOTA KINABALU – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan ahli parti itu supaya tidak mengkhianati semangat perjuangan reformasi selain terus komited merealisasikan janji untuk membawa budaya politik baharu iaitu matlamat tidak menghalalkan cara dan kaedah yang salah.

Berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Serentak Keadilan Sabah, Anwar berkata, setiap ahli PKR boleh berbeza pendapat, dan dalam masa sama, memberi pandangan kepada pemimpin, namun, ahli parti tidak boleh sama sekali mengkhianati semangat perjuangan menuntut reformasi yang sememangnya sudah menjadi landasan dan tunggak parti itu sejak awal penubuhannya.

Anwar juga mahu ahli PKR sentiasa bermuhasabah dan mengintropeksi diri bagi memastikan bibit-bibit yang ada dalam budaya politik UMNO dan Barisan Nasional (BN) seperti salah guna kuasa, rasuah, gila kuasa dan memperkayakan diri tidak wujud dalam kalangan ahli parti itu.

“Dulu jangan lupa, kita serang UMNO dan BN habis-habisan. Sebab apa sebab gila kuasa, gondol kekayaan, memperkayakan diri dan memiskinkan rakyat. Sekarang, orang akan tanya apakah bibit-bibit yang ada dalam budaya UMNO itu juga terhimpit dan tersangkut dalam kalangan kita. Kalau ada, kita harus bertindak dan nyahkan daripada pengaruh ini.

“Ini dikatakan intropeksi, muhasabah, kritik diri kita sendiri. Jangan sibuk serang orang sahaja kerana kita sekarang ada kuasa. Atas sebab itu, kita harus buat penilian tentang dasar kita. Kita lihat umpamanya, pengumuman usaha-usaha dilakukan oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri (Sabah), kita harus akui menyokong langkah-langkah baik yang dilakukan.

“Ada orang kata tiada perubahan sama sekali, saya tidak setuju, perjalanan Parlimen berubah, badan Kehakiman berubah, media berubah. Ada perubahan. Tetapi kita juga tidak sabar, kita tidak mahu tunggu 50 tahun lagi berubah, maka sebab itu, tuntutan, gesaan, asakan itu kian kuat meminta perubahan itu dengan kadar yang lebih pantas dan cepat,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar juga mahu, pemimpin dan ahli PKR termasuk daripada parti komponen lain dalam Pakatan Harapan (PH) supaya tidak mudah melenting apabila dikritik mahupun ditegur oleh pihak lain atau media sebaliknya perlu lebih rasional dengan menilai serta menjawab perkara dibangkitkan secara sopan.

“Kita kena ingat suasana berubah. Sejak PH memerintah, antara langkah awal diambil oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah membebaskan media. Bila media bebas, yang kena serang itu kita. Tetapi, itu yang kita janji. Apa yang kamu minta itu yang kamu dapat. Kita minta media harus bebas.

“Sekali dah bebas, kritik kita tak boleh. Jika (menteri) faham reformasi, dia akan dengar, nilai, dan jawab dengan baik dan sopan. Itu budaya politik baharu yang kita bicarakan,” katanya.

Anwar turut menasihatkan pemimpin dan ahli PKR untuk sentiasa mengingati naratif baharu parti iaitu menjadi wakil kepada kepentingan majoriti rakyat pelbagai kaum yang memerlukan pembelaan selain memastikan pembangunan yang dibawa seiring dengan penerapan nilai-nilai pembangunan insan.

PKR mahu melahirkan pemimpin yang menjadi juara, pejuang dan pembela nasib rakyat di peringkat akar umbi dan bukannya mempertahankan golongan korporat atau ahli perniagaan kerana PKR ditubuhkan oleh rakyat bawahan di jalanan yang menuntut perubahan, katanya.

Sementara itu, Pengerusi PKR Sabah Datuk Christina Liew ketika berucap berkata PKR negeri itu mahu semua ahli memainkan peranan masing-masing di pelbagai peringkat untuk membantu kerajaan negeri merealisasikan perubahan yang diperjuangkan parti selama 20 tahun di Sabah.

Pada majlis itu, Anwar diiringi Liew menerima sebanyak 11,362 borang keahlian baharu PKR Sabah yang didaftarkan secara dalam talian.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast