Pemandanganibu kota Kuala Lumpur yang terjejas akibat jerebu tinjauan lensa Malaysia Gazette di Menara Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 12 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR –  Keadaan jerebu yang melanda rantau Asia Tenggara termasuk di negara ini memberikan impak yang buruk terhadap kesihatan malah status kualiti udara yang diketahui melalui Indeks Pencemaran Udara (IPU) saban hari sebenarnya amat membimbangkan.

Semakin tinggi tahap IPU, semakin tinggi kesan terhadap kesihatan diri manusia yang menyebabkan kesukaran untuk bernafas, jangkitan pada bahagian atas saluran pernafasan, serangan jantung, kegatalan pada tekak, mata serta kulit.

Dengan tidak mengharapkan kerajaan semata-mata dalam menangani isu jerebu, ramai juga pihak tampil membantu walaupun dalam skala kecil atau setempat bagi meredakan situasi ini.

Antaranya Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) dengan kerjasama PMCare Sdn Bhd mengambil inisiatif mengagihkan topeng muka kepada orang awam bermula sejak lima hari lepas.

Setiap hari sebanyak 5,000 topeng muka telah mula giat diagihkan setiap hari dalam tempoh beberapa hari di kawasan awam menumpukan penunggang motosikal, pengguna pengangkutan awam dan pekerja yang terdedah kepada jerebu di sekitar ibu negara.

Menurut Pengarah Eksekutif MERCY Malaysia, Ir. Amran Mahzan, pihaknya amat prihatin dengan situasi jerebu dan sentiasa memantau keadaan dari masa ke semasa mengambil inisiatif mengedarkan topeng muka kepada masyarakat setempat.

Jelasnya, sambil mengedarkan topeng muka rata-rata juga diberikan nasihat serta pendedahan tentang keadaan jerebu bagi memastikan masing-masing peka dengan apa yang sedang melanda negara ketika ini.

“Apa yang penting, kesihatan itu kita jaga.Kita juga perlu ambil langkah berjaga-jaga.

“Selain memantau, kita juga perlu mengambil inisiatif dalam menjaga kesihatan diri dan keluarga dari masa ke semasa. Fenomena jerebu adalah masalah bagi semua orang, bukan hanya untuk mereka yang mempunyai penyakit respiratori.

“Ada pelbagai gejala yang berlaku kerana fenomena jerebu ini dan semua perlu mengambil langkah berjaga-jaga.

“Kami di Mercy juga mengambil inisiatif ini dengan mengedarkan topeng muka yang juga merupakan antara bahan penting yang perlu digunakan ketika berlakunya jerebu, alhamdulilah kerana ada pihak tampil memberikan penajaan.

“Kami telah mengawasi keadaan ini sejak beberapa hari yang lalu dan sudah bersedia untuk bertindak sekiranya keadaan semakin buruk. Dengan lebih daripada 40 sekolah ditutup hari ini dan tahap IPU melebihi 200 semalam, kami akan segera bertindak,” ujarnya.

Dalam pada itu, orang awam dinasihatkan banyak minum air dan mengurangkan aktiviti luar rumah serta mendapatkan rawatan segera jika mengalami simptom seperti sukar bernafas, sakit mata atau tekak dan batuk.

Juga dinasihatkan supaya minum air sekurang-kurangnya dua liter sehari, segera berjumpa doktor jika keadaan kesihatan semakin teruk dan mempunyai bekalan ubat-ubatan yang mencukupi bagi pesakit asma dan akhir sekali patuhi arahan dan nasihat daripada doktor. – MalaysiaGazette