12 daripada 39 penyokong Ultras Juventus yang dikehendaki polis Itali berjaya dicekup dalam kes peras ugut dan mempunyai rangkaian dengan geng mafia

TURIN – Lebih 12 penyokong Ultras Juventus ditahan polis atas dakwaan memeras ugut.

Mereka adalah antara 39 penyokong yang didakwa mempunyai hubungan dengan geng mafia yang sedang diburu polis Itali.

Penyiasat di Turin mendakwa para penyokong the Old Lady mengugut kelab mereka akan menyanyikan lagu berbaur perkauman pada setiap perlawanan sekiranya tidak dibenarkan membeli tiket dengan harga lebih murah.

Para penyokong mahu mengaut keuntungan dengan menjual semula tiket yang dibeli itu pada harga yang lebih tinggi.

Mereka juga dituduh atas kesalahan penggubalan wang haram dan keganasan.

Tangkapan semalam menyusul selepas siasatan mendalam dilaksanakan selama lebih setahun lalu.

Menurut polis, kumpulan berkenaan menyusup masuk dalam penyokong ultras di Stadium Allianz.

Mereka yang ditahan polis turut terdiri daripada ahli kumpulan geng mafia ‘Drughi’, ‘Tradizione’, ‘Viking’ and ‘Nucleo 1985’

Dua tahun lalu, Juventus didenda dan diarahkan beraksi dengan sebahagian stadium ditutup tanpa penyokong kerana menjual tiket perlawanan kepada penyokong ultras.

Pada 2017, presiden kelab itu, Andrea Agnelli digantung setahun kerana didapati bersalah memainkan peranan menjual tiket kepada penyokong yang mempunyai rangkaian dengan kumpulan mafia. – Agensi