Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik beramah mesra bersama pemain pada Majlis Meraikan Kejayaan Pasukan Bola Sepak Bawah 12 Tahun Malaysia selepas menjuarai Kejohanan Bola Sepak Piala Global J-Green Sakai 2019 Osaka Jepun di Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 18 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Gara-gara jerebu, semua sekolah-sekolah termasuk taman didikan kanak-kanak (tadika) di Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya akan ditutup selama dua hari bermula esok.

Keputusan itu diumumkan Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik di kementeriannya di sini hari ini.

Kata beliau, rentetan pengumuman berkenaan, para guru-guru adalah diberi pilihan untuk bekerja dari rumah sekiranya sekolah terlibat dengan pengumuman penutupan dan perlu memaklumkan sekolah pengetua atau guru besar mengenainya.

“Sebenarnya mereka boleh berhubung dari rumah bersama murid menerusi Google classroom memberikan kerja rumah dan berhubung dengan anak anak murid menerusi teknologi ini.

“Para pengetua dan guru besar hendaklah memastikan perkara ini dibuat mengambil kira kebajikan semua dan tidak mengadakan sebarang mesyuarat semasa bencana berlaku.

“Semua sekolah yang terlibat tidak perlu diganti kerana dikategorikan sebagai cuti bencana,” katanya kepada pemberita di sini.

Kata Maszlee, keputusan itu diambil berikutan keadaan jerebu yang semakin kritikal melanda negara ini dan beberapa penambahbaikan kementerian menyusul kelak.

Beliau berkata demikian di Majlis Meraikan Kejayaan Pasukan Bola Sepak Bawah 12 tahun menjuarai Kejohanan Bola Sepak Piala Global J-Green Sakai 2019 di Osaka Jepun.

Dalam perkembangan sama tambah Maszlee, setiap pengumuman penutupan sekolah-sekolah akan disiarkan pada setiap hari selewat-lewatnya 6 petang.

Tambah beliau, pengetua dan guru besar sekolah boleh mengumumkan penutupan sekolah sekiranya pandangan mereka keadaan jerebu semakin teruk berdasarkan trend bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada hari tersebut dan keputusan tersebut hendaklah dimaklumkan kepada pejabat pendidikan daerah dan negeri masing-masing.

“Maksudnya diberikan kuasa kepada guru besar dan pengetua sekiranya bacaan IPU 180 atau 190 menunjukkan trend semakin meningkat maka mereka berkuasa mengumumkan penutupan sekolah.

“Bagi sekolah diumumkan ditutup dan setelah murid murid berada di sekolah, murid murid masih boleh berada di sekolah dan pengajaran dan pembelajaran akan berjalan seperti biasa sehingga tamat waktu persekolahan bagi sesi tersebut kecuali ada permintaan waris untuk membawa anak mereka pulang.

“Manakala bagi institusi pengajian tinggi (IPT) pula, keputusan untuk menutup kampus adalah terletak kepada keputusan pengurusan IPT masing-masing,” ujarnya.

Disamping itu Maszlee juga mengingatkan para guru-guru dan anak anak supaya sentiasa mengutamakan kesihatan, minum air secukupnya dan mengurangkan aktiviti luar.

Justeru katanya, para pentadbir sekolah harus mengikuti prosedur operasi standard (SOP) berkenaan setiap masa para pentadbir sekolah haruslah mengikuti SOP setiap masa.

“Kita terima maklumat bahawa Jawatankuasa Bencana Selangor telah memutuskan tentang penutupan sekolah seluruh negeri dan kita menghormati keputusan mereka dan begitu juga Pulau Pinang, WPKL, Putrajaya berikutan bacaan IPU di negeri berkenaan tinggi.

“Saya berharap semua pihak mengikuti secara dekat perkembangan terkini di dalam laman web rasmi Kementerian Pendidikan,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette