Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Kerjasama antara UMNO dan Pas tidak seharusnya dilihat menimbulkan ancaman kepada sistem sekular dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan yang sedia wujud hari ini.

Kecuali kerjasama itu hanya memperjuangkan satu-satu agama dan kaum serta mengganggu-gugat kestabilan negara sebagaimana yang sedia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, maka MCA tidak akan berkompromi dan sedia mengambil tindakan sewajarnya.

Tetapi, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kerjasama antara UMNO dan Pas menjangkaui semua lapisan masyarakat Malaysia dan berpegang teguh kepada prinsip yang terkandung di dalam piagam yang ditandatangani pada 14 September.

Prinsip tersebut antara lain ada menyentuh dua perkara iaitu:

– Menjunjung dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan Negara, Islam sebagai Agama Persekutuan, kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta menjamin kepentingan masyarakat majmuk terpelihara.

– Mengikhtiarkan secara kolektif satu citra dan tawaran baru untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik, dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan.

Ka Siong menambah, prinsip memelihara Perlembagaan Persekutuan serta mempertahankan nilai-nilai kepelbagaian dan kesederhanaan adalah asas perjuangan MCA sejak dari zaman menuntut kemerdekaan negara sehingga hari ini – baik ketika bergelar kerajaan mahupun pembangkang.

Malah, ia juga merupakan asas kepada keputusan MCA sama ada untuk kekal bersama Barisan Nasional (BN) atau dalam kerjasama UMNO-Pas.

Tegasnya, pendirian itu telah dinyatakan ketika bertanding pada bulan Oktober tahun lalu dan mula menjadi Presiden MCA pada bulan November lalu.

Katanya, BN mestilah membentuk satu gabungan politik yang mewakili semua kaum, oleh itu MCA akan melakukan yang terbaik untuk memastikan komponen itu terus mempraktikkan prinsip kepelbagaian dan kesederhanaan.

Ia supaya BN tidak menjadi sebuah gabungan yang hanya memperjuangkan kepentingan sesetengah agama atau kaum sahaja.

Menurut beliau, mengikut rekod daftar pemilih 2018, terdapat 69 kawasan pilihan raya dengan lebih 40% pengundi Cina dan India.

Termasuk 31 kerusi di Sarawak dan 25 kerusi di Sabah, ia menjadikan jumlah kesemuanya 125 kerusi.

Hujahnya, demografi pengundi ini menunjukkan keadaan negara yang mempunyai masyarakat majmuk dan berbilang agama, justeru negara akan terus aman harmoni apabila semangat kepelbagaian dan kesederhanaan dapat dipertahankan.

Bagaimanapun, tambahnya, parti politik yang hanya memperjuangkan satu-satu kepentingan bukan sahaja menafikan kepelbagaian tetapi juga mustahil untuk mentadbir negara yang akhirnya akan ditolak sendiri oleh rakyat. – MalaysiaGazette