Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Ibrahim Ali bercakap pada sidang media khas sempena pelancaran Parti Putra di Ibu Pejabat Perkasa Putra, Wisma KGMB, Kompleks Damai, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 19 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Ibrahim Ali tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai kedudukan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) berhubung persoalan sama ada mahu menyertai blok pembangkang menerusi Muafakat Nasional atau kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, segala keputusan dan hala tuju parti itu akan ditentukan oleh Dewan Majlis Tertinggi Putra dan ahli akar umbi kerana mereka akan menentukannya melalui perbincangan.

“Sungguh pun saya memegang jawatan Presiden penaja, tidak semestinya saya mempunyai kuasa mutlak dalam membuat sebarang keputusan. Kita amalkan demokrasi dan semangat bermusyawarah.

“Setakat ini kita belum fikiran soal kedudukan Putra di blok mana. Kita mahu tumpukan pada kerja penubuhan parti di peringkat negeri, bahagian dan cawangan.

“Selepas semua ini selesai, kita akan mengadakan perhimpunan agung pertama yang kita jangka penghujung tahun ini. Di situ, kepimpinan ahli akar umbi akan tentukan hala tuju parti Putra,” katanya pada sidang media khas di pejabatnya di sini, hari ini.

Menurut Dr. Ibrahim lagi, Putra tidak mahu menjerumuskan diri dalam politik peribadi sebagaimana parti lain yang ada di negara ini, sebaliknya kekal dengan perjuangannya membela agenda Melayu dan Islam.

Katanya, politik Putra lebih kepada parti rakyat, bukan parti yang terjerumus dalam serangan peribadi, membicarakan perkara remeh temeh sehingga tidak memberi apa-apa manfaat kepada rakyat.

Ditanya perancangan Putra untuk rakyat Sabah, beliau menjelaskan, setakat ini parti itu mempunyai 23 Ketua penaja Bahagian daripada 25 bahagian yang diperuntukan.

Kata beliau, semua Ketua penaja itu adalah dari pelbagai etnik dan menerima sambutan luar biasa dari rakyat Sabah walaupun negeri itu mempunyai banyak parti.

Mengenai Pemasyhuran Sumpah Keramat 10 Tuntutan Melayu Pribumi yang akan dibacakan kepada umum pada 28 September ini, Dr. Ibrahim meminta pihak media bersabar dan menunggu pada hari pelancaran itu.

Katanya, 10 tuntutan itu bermakna tonggak kepada perjuangan parti Putra, bukan seperti parti lain yang pemasyhurannya sekadar secara umum dan dasar dalam memperjuangkan Melayu dan Islam.

“Putra tidak seperti parti ini. Kita buat pemasyhuran dengan menyebut secara jelas butiran yang akan kita lakukan.

“Kita juga akan menyatakan dengan tegas dan berterus terang 10 tuntutan ini dan akan didedahkan sepenuhnya pada hari pelancaran nanti.

“Intipatinya antara lain berkaitan dengan agenda kaum pribumi, Melayu dan Islam,” katanya. – MalaysiaGazette