KUALA LUMPUR – Datuk Dr Puad Zakarshi mendakwa satu Kongres Maruah Melayu akan diadakan bagi ‘melawan’ Piagam Muafakat Nasional yang didukung oleh UMNO-Pas.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan keanggotaan jawatankuasa Kongres Maruah Melayu yang didakwa disertai oleh ahli-ahli politik yang sudah tercalar maruah mereka.

Berdasarkan sekeping gambar, Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, bagaimana Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Datuk Dr Abdul Latif Ahmad boleh dilantik menganggotai kongres berkenaan kerana kedua-duanya lompat parti kepada parti yang mencelarukan maruah orang Melayu.

Malah, gambar dan banner mengenai Kongres Maruah Melayu itu sudah tersebar dalam laman media sosial.

Dakwa Puad, mesyuarat itu diadakan di pejabat Gerbang Perdana yang dimiliki Datuk Yahya Jalil iaitu kroni Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sekeping gambar yang menyaksikan Hamzah Zainuddin dan Dr Abdul Latif Ahmad dalam satu mesyuarat jawatankuasa Kongres Maruah Melayu. foto FB Dr Puad Zakarshi.

“Sudah tentu agenda kongres ini ialah politik untuk counter attack Piagam Muafakat Nasional yang didokong oleh dua parti terbesar orang Melayu UMNO-PAS,” katanya dalam hantaran di Facebooknya.

Menurut Puad, kongres yang benar benar bebas dan diiktiraf ialah Kongres Cendikiawan Melayu dan Kongres Ekonomi Bumiputra.

Lantaran itu, Kongres Maruah Melayu ini dipertikaikan kerana dianggotai oleh ahli-ahli politik yang maruahnya sendiri tercalar.

“Pada saya Piagam Muafakat Nasional sudah komprehensif untuk dijayakan bagi menjaga maruah agama, maruah ummah dan maruah rakyat yang berbilang kaum,” ujar beliau. – MalaysiaGazette