Sebahagian gelagat pelajar sekolah yang memakai topeng muka kerana terjejas akibat jerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 163 API yang dipaparkan di laman sesawang apims.doe.gov.my sekitar jam 1 petang ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 17 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Masalah jerebu yang melanda negara telah meningkatkan penyakit asma sebanyak 15.8% kepada 1,375 kes berbanding 1,187 kes dari 8 hingga 14 September lalu berbanding 30 Jun hingga 7 September 2019.

Peningkatan sama juga berlaku dengan penyakit konjuntivitis iaitu kenaikan 24.9% (253 kepada 317 kes) pada tempoh masa yang sama.

Manakala penyakit jangkitan saluran pernafasan (URTI) menurun penurunan sebanyak 17.3% (7,551 kepada 6,245 kes).

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya akan terus memantau tren penyakit-penyakit ini.

Sehubungan itu, orang ramai terutamanya golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, orang tua, perokok, mereka yang sentiasa terdedah dengan udara luar dan mereka yang mengalami penyakit seperti asma, bronkitis, radang paru-paru, sakit jantung dan alahan dinasihatkan agar mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu.

Orang ramai dinasihatkan agar mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah, mutup tingkap bagi mengurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan dan memasang alat pendingin hawa.

Selain itu, elakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan dengan tidak merokok dan sentiasa membersihkan persekitaran dalaman, banyak minum air (sekurang-kurangnya 8 gelas sehari) bagi mengekalkan tahap hidrasi badan, menggunakan penutup hidung dan mulut apabila melakukan aktiviti luar rumah dan kerap membasuh muka dan bahagian badan yang terdedah kepada jerebu. – MalaysiaGazette