Pemain PJ City bergambar sebelum perlawanan Piala Malaysia diantara pasukan PJ City menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor. foto AFFAN FAUZI, 13 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan pindaan tarikh perlawanan Piala Malaysia Kumpulan B membabitkan pasukan PKNP FC dengan PJ City FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.

MFL dalam satu kenyataan berkata, keputusan untuk meminda perlawanan berkenaan dibuat hasil persetujuan ahli lembaga pengarahnya.

Ini berikutan selepas menerima permohonan PJ City berikutan sebahagian besar pemain dan pegawai kelab berkenaan masih di dalam tempoh arahan isolasi atau kuarantin akibat wabak Influenza B.

“Permohonan PJ City itu juga disokong dengan surat arahan daripada Pejabat Kesihatan Daerah Manjung bertarikh 19 September 2019.

“Sehubungan itu, perlawanan keenam Kumpulan B di antara PKNP dengan PJ City yang dijadual berlangsung pada hari ini (20 September) terpaksa ditunda pada Ahad (22 September),” kata kenyataan yang sama.

Penundaan perlawanan penentuan satu slot ke suku akhir Piala Malaysia itu juga sekali gus menyebabkan tarikh aksi timbal balik suku akhir menentang Kedah turut terpaksa ditunda. – MalaysiaGazette