Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ditemani isteri, Tun Siti Hasmah Mohamad Ali (tengah) bergambar bersama Piagam Warisan dan Budaya Tanah Air di Muzium Kesenian Islam Malaysia, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 20 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Warisan dan budaya amat penting dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum di negara ini, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Justeru, kata beliau, ia tidak seharusnya dipinggirkan kerana tamadun lampau, sejarah, kesan perjuangan bangsa zaman dahulu amat penting diselidik serta diberi penilaian agar rakyat dapat belajar dari sejarah lama.

Katanya, pengajian sejarah terutama yang berkaitan arkeologi dan kajian zaman amat penting diteliti secara empirikal, tersusun dan berasaskan penyelidikan saintifik.

“Dalam konteks ini, kepentingan ilmu sejarah yang berasaskan fakta yang tidak bias atau berat sebelah perlu diutamakan.

“Kita tidak seharusnya menurut apa orang lain kata terhadap kesan, nilai-nilai dan takrif mengenai sejarah kita.

“Kita sering mendengar kata-kata bahawa sejarah akan berulang kembali, tetapi kita kurang belajar mengenai implikasi sejarah yang disalah takrif dan disalahguna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Piagam Warisan dan Budaya Tanah Air di Muzium Kesenian Islam Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir, isterinya, Tun Siti Hasmah Mohd Ali; Pengasas Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Pengerusi Yayasan Budi, Tan Sri Dr. Rais Yatim.

Menurut Mahathir, sebab itu Piagam Warisan dan Budaya yang dilancarkan ini merupakan usaha penting dan perlu diberi sokongan yang meluas oleh semua pihak.

Jelas beliau, kerajaan sudah mempunyai Akta Warisan Kebangsaan 2005 dan juga mempunyai penyelidikan arkeologi di Universiti Sains Malaysia (USM).

“Kegiatan tambahan mesti dilakukan supaya usaha gigih USM di Lembah Bujang, Kedah misalnya mendapat sokongan agar ia
menyingkap lembaran sejarah tua negeri Kedah khasnya dan Malaysia amnya.

“Begitu juga mengenai the Perak Man atau Manusia Perak yang telah membuka mata dunia tentang tamadun pra sejarah di Perak, selain penemuan di Gua Cha negeri Kelantan dan Gua Niah di Sarawak.

“Kekurangan kajian melalui bidang arkeologi seperti yang ada sekarang seharusnya dapat perhatian pihak swasta agar lebih banyak universiti kita menawarkan pengajian arkeologi bagi merungkai misteri abad permulaan kita seperti di Kelantan, Perak, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Kata Mahathir lagi, banyak aspek cara hidup lampau dan cara hidup kini yang sudah diketepikan oleh bangsa-bangsa di dunia.

Ujar beliau, akibatnya ialah terlalu sedikit amalan murni yang membina tamadun dapat dilalui atau dijadikan amalan.

“Sering terdengar rungutan bahawa generasi masa kini terlalu terbawa-bawa dengan teknologi dan modenisasi sehingga nilai kemanusiaan, adat dan budaya terpinggir.

“Akibatnya, hadir di kalangan kita terlalu banyak amalan yang kasar, tidak beradab dan keluar dari batasan agama.

“Kita sebenarnya membenarkan diri kita terperangkap dalam menangani arus kemajuan era digital dan automasi kini,” katanya. – MalaysiaGazette