Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad sambil diriingi Pengerusi Aset Kayamas, Tan Sri Datuk Chai Kin Kong bergambar kenangan dengan penerima-penerima kunci Residensi Wangsamas pada Majlis Penyerahan Kunci Unit Residensi Wilayah Residensi Wangsamas, Jalan Wangsa Delima, Wangsa Maju, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Isu teknikal berhubung pengesahan di peringkat cawangan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menjadi punca berlakunya kekecohan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Parti Amanah Negara (AMANAH) yang dibatalkan.

Pengarah Biro Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, situasi yang berlaku ialah apabila pimpinan di peringkat nasional tidak dimaklumkan bahawa cawangan-cawangan parti itu belum diluluskan.

Bagaimanapun Khalid berkata, tidak timbul soal cawangan parti itu dibatalkan pendaftaran oleh RoS kerana parti berkenaan bertindak mengukut kehendak badan pertubuhan tersebut.

“Tidak akan dibatalkan sebab kita bertindak mengikut kehendak ROS. Apa yang berlaku ada cawangan yang belum lagi sah dia punya pendaftaran.

“Tapi diorang kita tak dapat maklumat itu, kita ingat diorang sah. So, mereka hadir dalam mesyuarat pemilihan kawasan. Jadi, bila dia hadir dalam mesyuarat pemilihan itu di peringkat cawangan, mesyuarat itu jadi tak sahlah oleh kerana adanya cawangan-cawangan yang tak lagi sah dari sudut ROS,” katanya yang juga Menteri Wilayah Persekutuan pada sidang media di sini hari ini.

Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas situasi yang berlaku kepada parti Amanah selepas didakwa sebanyak 148 Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) termasuk peringkat kawasan, sayap pemuda dan wanita Amanah dibatalkan di seluruh negara kecuali Sabah.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 81 mesyuarat yang terbatal melibatkan AGM peringkat kawasan manakala, 32 AGM bagi Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN), dan 35 AGM bagi sayap pemuda parti itu.

Menurut Khalid lagi, disebabkan itu semua pimpinan di peringkat cawangan dipanggil menghadiri taklimat yang diadakan semalam bertujuan untuk memaklumkan situasi yang berlaku.

Katanya, situasi tersebut kemungkinan terjadi apabila kebanyakan pimpinan parti di peringkat nasional dilantik menjawat jawatan di dalam kerajaan Persekutuan hingga menyebabkan perkara tersebut terlepas pandang.

“Kita tak dimaklumkan dari cawangan-cawangan berkenaan. Nasional tak sempat nak hantar balik ke RoS dan sebagainya.

“Ramai marahlah patutnya benda ni dibuat. Tapi masalah dia sebenarnya bila kita menang dalam pilihan raya ramai yang berjawatan di peringkat Kabinet,” ujarnya.

Terdahulu, Khalid menyerahkan kunci kepada 441 pemilik Residensi Wangsamas dalam satu majlis yang diadakan di sini.

Rumah mampu milik tersebut merupakan projek yang disiapkan oleh pemaju, Aset Kayamas Sdn. Bhd. dengan syraikat bersekutunya, Era Ecoland Sdn. Bhd.

Risidensi Wangsamas dijual pada harga setendah RM198,000 dengan dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik airdan satu ruang parkir berbumbung. – MalaysiaGazette