MILAN- Jennifer Lopez  menutupi persembahan fesyen Versace dengan mengenakan semula gaun bertemakan hutan yang pernah dipakainya pada Grammy Awards hampir 20 tahun lalu.

Gaun hijau yang bukan sahaja menaikkan nama bintang popular itu turut mencetuskan penciptaan Google Images digayakan Lopez ketika berkongsi pentas dengan Gigi dan Bella Hadid pada Minggu Fesyen Milan.

Beliau menggayakan versi terbaharu gaun hijau ikonik rekaan Versace itu.

Menurut bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Eksekutif Google, Eric Schmidt, pelayar mahukan lebih daripada teks.

“Hasrat itu makin ketara selepas Grammy Awards 2000 di mana Jennifer Lopez memakai gaun hijau yang menarik perhatian seluruh dunia.

“Pada ketika itu, Google yang hanya berusia dua tahun ketika itu menerima pertanyaan yang tinggi dan pencarian mengenai gaun berkenaan merupakan pencarian paling popular yang pernah kami lihat.

“Tetapi kami ketika itu tidak tahu bagaimana mahu memenuhi permintaan pelayar dan dari situlah lahirnya Google Image Search,” tulisnya pada Project Syndicate pada 2015.

Menurut Versace, jenama terkenal itu berhasrat untuk mengabadikan kenangan ikonik apabila fesyen dan budaya menjadi pemangkin kepada progress teknologi dengan koleksi Musim Bunga/Panas 2020-nya.- Agensi