Bekas Pegawai Khas Bekas Perdana Menteri, Amhari Efendi Nazaruddin hadir pada perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 04 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan berprofil tinggi melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes penyewelengan dana sebanyak  RM2.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masuk hari ke-10 hari inii.

Selain daripada RM2.3 bilion, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan juga berdepan dengan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang yang sama.

Hari ini, saksi ke-8, bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin yang sudah masuk hari kelapan dijangka memberi keterangan kerana sesi pemeriksaan balas dengan pasukan pendakwa raya akan bersambung lagi.

Ketua pasukan peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang selesai soal balasnya selama lima hari sehingga Khamis lepas juga sedang berkira-kira agar ‘sebahagian’ daripada keterangan Amhari ‘ditolak’ kerana dianggap sebagai tidak lebih daripada khabar angin sahaja.

Selain daripada itu, Muhammad Shafee juga beberapa kali ketika sesi soal balas mendakwa penyataan saksi oleh Amhari ‘sangat bercanggah’ dengan apa yang di tulis oleh bekas pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) itu.

“Banyak sangat ‘jangkaan’ oleh Amhari tanpa bukti,” kata Shafee kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah.

Ketika soal balas juga, Amhari juga mengakui master manipulator yang dimaksudkan olehnya merujuk kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan bukannya Najib seperti yang di sangka-sangka.

Malah Amhari juga mengakui Najib sebenarnya tidak pernah menyalahgunakan kuasanya sebaliknya Jho Low banyak main peranan memanipulasi pelbagai pihak termasuk dalam Pejabat Perdana Menteri.

Beliau juga dikatakan tidak disukai oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin ketika itu.

Walaupun tidak bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa dirinya bersubahat dengan Jho Low bagaimanapun Amhari tidak dapat menyangkal tentang dakwaan pelbagai ‘manfaat’ diperoleh daripada ahli perniagaan itu.

Antaranya dengan menerima ‘bantuan’ kewangan untuk pembelian rumah bernilai RM1.8 juta di Damansara oleh Amhari, Jho Low telah memberikan pinjaman sebanyak AS$200,000 (RM808,000) yang sehingga hari ini tidak pernah di bayarnya.

Selain daripada itu, Jho Low juga dikatakan sering memberikan ‘duit poket’ beribu-ribu dolar kepada Amhari setiap kali dirinya menemani Najib ke luar negara bagi lawatan peribadi walaupun pada masa mendapat elaun khas dari kerajaan.

Amhari dijangka habis memberikan keterangan hari ini yang kemudian saksi berikutnya di panggil juga hari sama iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.–MalaysiaGazette