Saksi kelapan, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin hadir pada perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 04 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Saksi ke-8 perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu walaupun sedia maklum wujudnya unsur penyelewengan berhubung dana tersebut, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan melaporkan perkara itu.

Menurut Datuk Amhari Efendi Nazaruddin yang merupakan bekas pegawai khas Najib, walaupun isu 1MDB serta penyelewengan terutamanya menglibatkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jhow atau Jho Low, namun tiada arahan supaya perkara itu dilaporkan kepada polis atau SPRM.

Malah kata Amhari, ianya bukan rahsia dan seringkali dilaporkan seperti isu berhubung PetroSaudi yang didakwa adalah duit salah guna 1MDB selain gaya hidup mewah Jho Low dan filem ‘Wolf Of The Wall Street’ juga menggunakan dana itu.

Jelas Amhari, walaupun pernah berbincang tentang 1MDB dalam mesyuarat namun  Najib tidak pernah mengarahkan laporan penyewelengan tersebut dibuat.

Gopal Sri Ram

Beliau berkata demikian kepada Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram ketika pemeriksaan balas tadi.

Dalam pada itu, Gopal Sri Ram sekali lagi bertanya tentang kata-kata arwah Datuk Azlin Alias iaitu, ‘Duit 1MDB laa Bro’ sambil menghempaskan fail pada Amhari sekitar 2015.

Sri Ram: Ketika itu, saya hendak tahu,  adakah isu itu adalah paling hangat?

Amhari: Sebenarnya ketika itu, tidak ada apa-apa lain yang hangat selain daripada 1MDB dan bagaimana dananya di selewengkan.

Sri Ram: Apakah maksud ‘Duit 1MDB la Bro’ itu kepada anda?

Amhari: Berdasarkan kata-kata arwah Azlin itu, saya rumus ia merujuk kepada isu paling hangat dan juga sangat menyusahkan iaitu PetroSaudi dan pembikinan filem ‘Wolf of The Wall Street’.

Sri Ram: ‘Wolf Of The Wall Street’ itu merujuk kepada apa?

Amhari: Filem yang dikeluarkan oleh Reza Aziz iaitu anak tiri Najib.

Amhari yang dipanggil ke mahkamah bagi memberi keterangan sejak 3 September lalu, hari ini dilepaskan sebagai saksi pendakwaan setelah lapan hari.

Saksi kesembilan, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB mula membaca penyataan saksinya setebal 270 muka surat diselangi Gopal Sri Ram bertanyakan beberapa perkara.

Perbicaraan bersambung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah ketika ini. –MalaysiaGazette