KUALA LUMPUR – Fenomena jerebu yang berlarutan menyebabkan penyakit asma dan konjuntivitis mencatatkan peningkatan kes di seluruh negara sepanjang tempoh 15 hingga 21 Sept berbanding minggu sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya kini melakukan pemantauan secara terkawal penyakit berkaitan jerebu melibatkan 33 fasiliti sentinel jerebu.
Kata beliau, peratusan itu melibatkan 1,222 kepada 1,265 kes bagi minggu berkenaan (15-21 September) iaitu menunjukkan peningkatan bagi kes penyakit asma.
Beliau berkata, penyakit konjuntivitis juga terdapat peningkatan sebanyak 51.4 peratus iaitu 266 kepada 403 kes pada tempoh sama, manakala URTI menunjukkan penurunan sebanyak 9.6 peratus iaitu 8,258 kepada 7,465 kes.
“Kementerian mengambil maklum bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari 68 Stesen Pengawasan Kualiti Udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada jam 8 malam semalam menunjukkan 24 stesen berada pada tahap sederhana, 42 stesen tidak sihat dan satu stesen sangat tidak sihat.
“Oleh itu, kanak-kanak, orang tua, perokok, mereka yang sentiasa terdedah dengan udara luar dan mengalami penyakit asma, bronkitis, radang paru-paru, sakit jantung serta alahan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Dr. Noor Hisham, sepanjang 15 hingga 21 September lalu, terdapat terdapat 17 kawasan yang merekodkan status IPU sangat tidak sihat.
Jelas beliau, tidak ada kawasan merekodkan status IPU bahaya pada Minggu Epid (ME) 37, namun pada ME 38 terdapat satu kawasan merekodkan status IPU bahaya iaitu di Sri Aman.
“Bagi mendapatkan langkah pencegahan mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu, orang ramai boleh melayari laman sesawang KKM di alamat http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/183.
Orang ramai juga disaran mengikuti perkembangan semasa jerebu dan menyemak IPU di lokaliti masing-masing dengan melayari laman portal JAS di alamat http://apims.doe.gov.my/. – MalaysiaGazette
















