Annuar Musa
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa menasihati Menteri Wilayah Persekutuan untuk menyemak fakta terlebih dahulu sebelum membuat kenyatan mengenai tawaran rendah penjualan tanah Kampung Baru oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung UMNO itu menyifatkan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad tidak bijak apabila melemparkan tuduhan tersebut.

“Dia ni tak pandai tengok kalendar, tawaran RM300 tu tahun bila.

“2019 ke..tu pun semak dulu faktanya,” katanya menerusi akaun Twitter.

Reaksi Ahli Parlimen BN Ketereh itu menyusul selepas Khalid berkata kerajaan terdahulu hanya menawarkan RM300 sekaki persegi untuk tanah di Kampung Baru.

Khalid berkata kini UMNO Pas cuba menggagalkan usaha kerajaan Pakatan Harapan untuk membangunkan Kampung Baru dengan menawarkan RM850 sekaki persegi.

Annuar Musa berkata, PH sebenarnya mempolitikkan isu namun menuduh pembangkang melakukannya.

“Laa..lepas dia puas mempolitikkan dengan menuduh sana sini, tiba-tiba dia nak nasehat orang.. lupa makan ubat agaknya dia ni..,” kata beliau. – MalaysiaGazette