Saksi iaitu Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hadir bagi perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 24 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low didakwa telah memuktamadkan penerbitan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) bernilai RM5 bilion ketika perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini.

Selain Jho Low, seorang lagi individu yang menguruskan IMTN itu ialah Pengarah Eksekutif Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), Casey Tang.

Itu penyataan saksi oleh bekas Ketua Pengarah Eksekutif TIA, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi pada hari ke-12 perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah di sini.

Menurut saksi ke-9 itu, kedua-dua mereka terlibat dengan dengan AmInvestment Bank yang merupakan bank utama dalam penerbitan bon tersebut termasuk meneliti dan menyemak segala butiran perjanjian tersebut kerana ia merupakan kepakaran mereka.

“Saya ingat lagi Casey Tang dan AmInvestment Bank telah membawa perjanjian setelah disiapkan kepada saya untuk ditandatangani.

“Saya percaya sahaja semua butiran yang tertera dalam perjanjian itu dan telah dipersetujui oleh semua pihak termasuk Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Datuk Seri Najib (Razak).

“Saya juga percaya kerana sudah pasti Jho Low dan Casey sudah meneliti perjanjian tersebut sebelum saya tandatangan,” katanya.

Kata Shahrol, Jho Low telah memaklumkan kepada pemegang amanah TIA berhubung kelulusan jaminan kerajaan bernilai RM5 bilion, ahli perniagaan itu juga merupakan Penasihat TIA serta ‘pemudahcara’.

Pemegang amanah pada ketika itu ialah Sultan Terengganu dan Najib.

Jho Low juga didakwa telah memberikan arahan kepada saksi untuk mengeluarkan resolusi Ahli Lembaga Pengarah bagi mengesahkan IMTN akan memasuki peringkat menandatangani perjanjian.

Keputusan untuk meneruskan program IMTN ini adalah berdasarkan perbincangan awal program itu dan atas desakan Jho Low yang inginkan IMTN itu dipercepatkan.

Perbicaraan 1MDB yang di hadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu membabitkan dana sebanyak RM2.3 bilion selain daripada 

 25 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan olehnya ketika masih menjawat jawatan tersebut.

Perbicaraan bersambung selepas rehat satu jam setengah. – MalaysiaGazette