LIONEL Messi memenangi anugerah Pemain Lelaki Terbaik FIFA awal pagi tadi

MILAN – Penyerang Barcelona, Lionel Messi memenangi anugerah Pemain Lelaki Terbaik FIFA dalam satu majlis yang diadakan awal pagi tadi di La Scala Opera House.

Pencabarnya, Cristiano Ronaldo yang merupakan penyerang Juventus turut disenarai, bagaimanapun tidak muncul pada majlis yang diadakan dengan penuh gilang-gemilang itu.

Kejayaan Messi itu merupakan kejutan apabila dia mengatasi Virgil Van Dijk, yang menang anugerah Pemain Terbaik UEFA bulan lalu selepas membantu Liverpool di Liga Juara-Juara musim lalu.

Messi, 32, dan Van Dijk, 28, kini pencabar utama Ballon d’Or yang akan diumumkan pada 2 Disember.

Ini adalah kali pertama Messi menang anugerah Pemain Terbaik FIFA yang diperkenalkan pada 2016. Ronaldo menang pada 2016 dan 2017 manakala pemain Croatia, Luka Modric muncul pemenang tahun lalu.

Messi adalah penjaring terbanyak Liga Juara-Juara musim lalu dengan 12 gol sebelum Barcelona disingkirkan Liverpool pada separuh akhir, Barca melepaskan kelebihan tiga gol pada pusingan pertama apabila tewas 4-0 di Anfield.

Pemain Argentina itu juga memenangi Kasut Emas Eropah selepas menjaringkan 36 gol, menang gelaran La Liga bersama Barcelona dan membantu Argentina meraih gangsa pada Copa America 2019.

Pada majlis itu juga Megan Rapinoe dinobat sebagai pemenang bagi kategori wanita untuk meraikan tahun bersejarah buat ikon Piala Dunia Amerika Syarikat itu.

Rapinoe menewaskan pemenang Piala Dunia Alex Morgan dan pemain England, Lucy Bronze untuk gelaran wanita manakala jurulatih Amerika Syarikat Jill Ellis menang anugerah jurulatih terbaik. – MalaysiaGazette