Puad Zarkashi
Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Alasan penghakiman oleh Hakim Koroner Rofiah Mohammad yang memutuskan secara prima facie bahawa Peguam Negara telah menghina mahkamah dan menyalahi prinsip perundangan inkues amat memalukan sistem keadilan dan rule of law di Malaysia.

Lebih-lebih lagi apabila Tan Sri Tommy Thomas dakwa Hakim Koroner cuba menjadikan inkues sebagai lakonan, main wayang dan rubber stamp.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Puad Zakarshi berkata, sejak awal pelantikan beliau, Tommy telah membuktikan beliau tidak boleh melaksanakan rule of law di Malaysia kerana menggugurkan kes rasuah Lim Guan Eng yang sudah memulakan perbicaraan.

Dakwa Puad, tingkah laku beliau seperti melantik peguam kroni dalam kes kapal Equanimity, menari sakan dalam majlis anjuran Bar Council dan menjadi panel yang memihak dalam forum mengenai Statut Rome menjejaskan integriti beliau sebagai Peguam Negara.

Lantaran itu, katanya, rakyat Malaysia mesti bangkit memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memecat Tommy demi memberi keadilan kepada Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim. – MalaysiaGazette