Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 25 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Ketika perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini mahkamah diberitahu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri menentukan jumlah pembayaran elaun pengerusi dan ahli lembaga 1MDB.

Saksi kesembilan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, Najib menetapkan pembayaran sebanyak RM120,000 setahun kepada pengarah dan RM96,000 untuk ahli lembaga itu.

Jelas saksi itu, Ahli Lembaga 1MDB menerima elaun tahunan berjumlah RM946,000 sejak April 2011.

“Jumlah elaun ini telah ditetapkan sendiri oleh Najib atas kapasiti beliau sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat. Setelah jumlah ini diluluskan oleh Najib, barulah kami akan membawa masuk ke dalam mesyuarat BOD untuk dimuktamadkan kelulusannya,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah.

Malah Shahrol juga mendedahkan jumlah itu juga ada ‘campur tangan’ daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang dikatakan telah mencadangkan jumlah tersebut sebelum dipersetujui Najib.

“Kelulusan itu berkuatkuasa pada 1 April 2011 untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2011. Saya sahkan bahawa amaun-amaun ini dibayar dan diterima oleh kesemua Ahli Lembaga Pengarah 1MDB secara tahunan sejak dari tarikh ia dikuatkuasakan dan seingat saya, tiada pindaan amaun baru dibuat selepas dari itu,” jelas Shahrol.

Menurut 1MDB bertarikh 2 Februari 2012 berkenaan 1MDB – Directors’ Fees, berikut adalah jumlah bayaran yang diterima oleh Ahli Lembaga Pengarah:

i. Tan Sri Che Lodin Bin Wok Kamaruddin (Pengerusi 1MDB): RM230,000.

ii. Datuk Ismee Ismail (Pengarah 1MDB) : RM179,000.

iii. Datuk Ong Gim Huat (Pengarah 1MDB) : RM179,000.

iv. Shahrol Azral Ibrahim Halmi (Pengarah 1MDB): RM179,000.

v. Ashvin Jethanand (Pengarah 1MDB): RM179,000.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan kini berhadapan dengan dakwaan penyewelengan dana 1MDB sebanyak RM2.3 bilion selain daripada 25 pertuduhan penggubahan wang haram serta salah guna kedudukan.

Perbicaraan masih lagi berjalan setelah berhenti rehat selama satu jam. –MalaysiaGazette