Pierre-Emerick Aubameyang

LONDON – Arsenal diberi peringatan agar tidak terlalu bergantung kepada penyerang handalannya, Pierre-Emerick Aubameyang untuk mencipta kemenangan.

Sebaliknya, The Gunners perlu segera memperbaiki beberapa kelemahan ketara terutama jentera pertahanan yang mudah dibolosi sejak kebelakangan ini.

“Arsenal tentu sahaja tidak boleh terus mengharapkan sentuhan Aubameyang pada ketika terdapat kelemahan ketara pada benteng pertahanan.

“Sebagai satu unit pertahanan, Arsenal harus lebih ampuh dalam menutup ruang supaya tidak mudah dibolosi lawan,” kata pemain bek Arsenal, Calum Chambers.

Biarpun mengakui betapa pentingnya sentuhan pemain kelahiran Gabon itu, Chambers berharap barisan pertahanan Arsenal bekerja lebih keras bagi mengelak melakukan kesilapan mudah pada perlawanan akan datang.

“Aubameyang sangat penting kerana dia penyerang berkualiti dan sebenarnya Arsenal memiliki ramai pemain berkualiti yang masih memerlukan penambahbaikan,” ujarnya.

Pada aksi menentang Aston Villa di Stadium Emirates Ahad lalu, Aubameyang muncul wira apabila membantu The Gunners melakar kemenangan 3-2.

Gol bekas penyerang Borussia Dortmund pada minit ke-84 itu adalah jaringan ketujuhnya dalam semua pertandingan musim ini. – MalaysiaGazette